SUKAN > BERITA

SIVASANGARI MUDAH TUNDUKKAN AIRA DI PUSINGAN PERTAMA EL GOUNA

13/04/2025 09:25 AM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Pemain skuasy wanita utama negara S. Sivasangari mara ke pusingan kedua kejohanan Skuasy Terbuka Antarabangsa El Gouna 2025 selepas menewaskan rakan senegara Aira Azman dalam masa hanya 17 minit, semalam.

Pemain nombor 11 dunia itu mempamerkan aksi dominan sepanjang perlawanan pusingan pertama di Kompleks Skuasy El Gouna, Mesir dengan kemenangan straight set 11-4, 11-5, 11-3.

Ini merupakan kemenangan ketiga Sivasangari ke atas pemain ranking ke-30 dunia itu selepas pernah menewaskan Aira dalam kejohanan Trofi Tuanku Muhriz 2023 dan Terbuka New Zealand 2025.

Pilihan ketujuh kejohanan itu seterusnya akan berdepan pemain Mesir, Salma Hany yang menundukkan wakil Belgium, Nele Gilis-Coll dalam perlawanan pembukaan.

Sivasangari sebelum ini pernah menewaskan Salma pada edisi 2022 kejohanan yang sama.

Mengikuti jejak Sivasangari, seorang lagi jaguh skuasy wanita negara Rachel Arnold yang menumpaskan pemain tuan rumah, Zeina Mickawy dengan 11-5, 11-8, 11-13, 10-12, 11-5, dalam aksi sengit yang berlangsung selama 50 minit.

Rachel akan berdepan pilihan keempat kejohanan Olivia Weaver dari Amerika Syarikat dalam usahanya memburu slot ke suku akhir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan