SEPANG, 14 April (Bernama) -- Selepas melakar sejarah muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China semalam, gandingan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini mengalih fokus untuk merampas kembali gelaran juara dunia di Paris, Ogos ini.
Walaupun kejayaan sulung di pentas Asia menjadi tonik semangat buat juara dunia 2022 itu, Aaron menegaskan perjuangan mereka masih jauh, apatah lagi sedang menyesuaikan diri dengan corak permainan di bawah kendalian ketua jurulatih beregu lelaki yang baharu Herry Iman Pierngadi.
“Kami masih sasarkan Kejohanan Dunia tahun ini, tapi seperti saya cakap, kami masih dalam proses menyesuaikan diri dengan gaya permainan yang diterapkan jurulatih Herry.
“Jadi, kami teruskan saja... kalau ada rezeki, ia akan berlaku,” katanya kepada media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Pasangan negara itu dinobatkan juara BAC 2025 selepas mengejutkan gandingan tuan rumah Chen Bo Yang-Liu Yi dengan kemenangan straight set 21-19, 21-17 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Lebih manis, kemenangan itu menamatkan penantian 18 tahun Malaysia dalam acara beregu lelaki di BAC — kali terakhir bergelar juara adalah pada edisi 2007 menerusi Choong Tan Fook-Lee Wan Wah di Johor Bahru.
Aaron berkata segala perancangan yang dirangka Herry membuahkan hasil di BAC 2025, terutama selepas mereka beraksi hambar sepanjang siri jelajah Eropah, termasuk tersingkir awal di All England bulan lepas.
Beliau turut menyifatkan kehadiran Herry di tepi gelanggang di Ningbo — penampilan pertamanya sejak dilantik Februari lalu — sebagai faktor penting yang membantu mereka kekal tenang sepanjang kejohanan.
Herry yang digelar “Naga Api” sebelum ini tidak dapat menemani skuad negara ke Eropah berikutan isu visa.
Sementara itu, Wooi Yik menyifatkan kejayaan di Ningbo sebagai versi terbaik gandingan mereka setakat ini serta memuji impak segera dibawa jurulatih dari Indonesia itu.
“Inilah versi baharu kami. Ada sesuatu yang kami belajar daripada coach Herry. Ia satu permulaan yang baik, tapi kami sendiri tak tahu apa akan berlaku dalam kejohanan seterusnya sebab kami masih belajar,” katanya yang kini berusia 27 tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial