SUKAN > BERITA

PICKLEBALL 'PENGACAU' SUKAN RAKET TRADISIONAL?

16/04/2025 03:48 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar dan Muhammad Afiff Md Adnan

 

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Di tengah-tengah kerancakan arus sukan moden, pickleball muncul sebagai trend baharu yang berkembang pantas dalam arena sukan rekreasi di negara ini.

Gabungan elemen tenis, badminton dan ping pong yang mudah dimainkan, sekali gus menghasilkan aksi pantas dan penuh strategi ternyata menarik minat ramai tidak kira warga emas mahupun anak muda untuk menceburi sukan berkenaan.

Pickleball adalah sukan yang menggunakan padel (raket) dan dimainkan dalam gelanggang berkeluasan 20 kaki (6.1 meter) lebar serta 44 kaki (13.4 meter) panjang. 

Namun, di sebalik kewujudan sukan yang diperkenalkan di Amerika Syarikat pada 1965 itu, timbul rasa kurang senang sesetengah pihak yang berasakan sukan yang kian popular itu menjadi ‘pengacau’ kepada perkembangan sukan raket tradisional lain.

Antara keluhan yang diluahkan adalah tindakan segelintir pemain mengubah suai gelanggang sedia ada termasuk tenis atau badminton mengikut kesesuaian ditetapkan sukan pickleball. 

Situasi itu menyebabkan ramai peminat tenis dan badminton meluahkan rasa kurang senang melihat keadaan gelanggang mengalami perubahan yang ‘mencemarkan’ penglihatan mereka.

Presiden Persatuan Pickleball Malaysia (MPA) Farrel Choo Kah Thiam yang mula-mula membawa masuk sukan itu ke Miri, Sarawak berkata rungutan sesetengah pihak adalah perkara biasa dan tidak mampu dielakkan bagi satu-satu sukan yang sedang berkembang.

Beliau berkata isu yang dibangkitkan itu di luar kawalan badan induk sukan berkenaan, namun mengingatkan pemain yang bermain sekadar aktiviti riadah atau secara kompetitif supaya menjaga ‘kesucian’ gelanggang yang dipinjam daripada sukan lain.

“Apabila kami memulakan pickleball, kami meminta kebenaran pengendali sukan sedia ada untuk menggunakan gelanggang mereka (badminton dan tenis) tetapi sebahagian daripada mereka menolak permintaan kami kerana bimbang bola mungkin merosakkan permukaan gelanggang.

“Kami bernasib baik kerana ada yang membenarkan kami menggunakan kemudahan mereka dan bermain sebelum ini. Saya percaya adalah wajar untuk orang ramai menyuarakan kebimbangan kerana kami menggunakan ruang mereka. Bagaimanapun, kami sentiasa memastikan untuk menanggalkan pita pelekat yang kami gunakan bagi menandakan garisan pickleball di atas gelanggang sedia ada (badminton dan tenis),” katanya.

Pada masa sama, Choo berkata isu sewa gelanggang yang dianggap mahal dan ‘cekik darah’ dikenakan pihak operator untuk membolehkan sukan berkenaan dimainkan di kemudahan sama yang digunakan sukan-sukan berkaitan tidak akan berpanjangan.

Beliau berkata bayaran sehingga boleh mencecah RM70 sejam itu akan berkurangan jika lebih banyak syarikat korporat serta pengusaha kemudahan sukan tampil ke hadapan memperkenalkan gelanggang khas bagi sukan berkenaan.

“Jika diikutkan caj purata sewa gelanggang di Miri serendah RM27 hingga RM30 untuk tempoh sejam bergantung kepada hari ia dimainkan semasa ia mula-mula diperkenalkan dahulu. Namun ketetapan harga itu bukan dalam bidang kuasa MPA.

“Sukan ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Jadi, ia berdasarkan penawaran dan permintaan, serta pihak operator yang bertanggungjawab dalam urusan harga sewaan. Namun, saya percaya jika lebih banyak kemudahan itu dibina harganya akan berkurangan nanti,” katanya.

Ditanya sama ada pickleball adalah sukan bermusim, beliau menolak kebarangkalian itu dan optimis sukan berkenaan bakal berkembang dari semasa ke semasa.

Bagi menguatkan lagi keyakinan itu, beliau berkongsikan statistik terkini yang menunjukkan daripada populasi rakyat Malaysia yang kini berjumlah lebih 35.15 juta, terdapat lebih 2,000 pemain aktif bermain setakat Mac tahun lepas, sebelum ia meningkat kepada 10,000 pada November.

“Bayangkan di Amerika Syarikat sahaja kini terdapat 14 peratus daripada populasi rakyatnya yang bermain pickleball.

“Jadi kita sendiri turut meletakkan sasaran supaya Malaysia juga boleh capai sehingga 10 peratus daripada jumlah populasi rakyat di negara ini dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Choo yang berkongsi perancangan terdekat MPA berkata pihaknya mencadangkan beberapa langkah bertepatan seiring perkembangan sukan itu, termasuk mengintai peluang untuk diperkenalkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

Beliau pada masa sama memaklumkan pihaknya bakal menganjurkan edisi sulung Terbuka Malaysia di Sarawak pada Julai depan, dan yakin mampu menarik penyertaan pemain tempatan serta luar negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan