SUKAN > BERITA

MPLMY MUSIM 15: SRG.OG BERTEMU VAMOS DALAM PERLAWANAN PEMBUKAAN

18/04/2025 03:56 PM

KUALA LUMPUR, April 18 (Bernama) -- Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia (MPLMY) Musim 15 bermula dengan pertembungan heavyweight, antara juara bertahan Selangor Red Giants (SRG.OG) dan naib juara Pasukan VAMOS musim lepas, esok.

SRG.OG yang telah memenangi liga untuk dua musim berturut-turut (Musim 13 dan 14), memasuki musim baharu dengan barisan pemain yang sama.

Ketua jurulatih SRG.OG Michael Angelo Bocado yang lebih dikenali sebagai Arcadia berkata, situasi itu memberi kelebihan yang kukuh kepada mereka dari segi persefahaman dan kerja berpasukan.

"Apabila bercakap tentang persefahaman, pasti sudah ada, kerana ia adalah sesuatu yang kami sudah perbaiki atau kukuhkan sepanjang musim. Saya fikir ia satu kelebihan buat kami kerana kami sudah mengenali antara satu sama lain, kami tahu kekuatan kami dan perkara yang perlu kami perbaiki.

"Jadi saya fikir masuk ke musim ini, kami tidak sama berbanding musim 13, 14. Saya fikir kami masih sentiasa berubah walaupun mengekalkan barisan yang sama," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Menjelang perlawanan pembukaan mereka, Arcadia berkata walaupun pasukannya mempunyai rekod yang baik menentang Pasukan VAMOS, mereka tetap berhati-hati, terutamanya dengan taktik mereka di bawah jurulatih baharu Zaya Win Paing.

“Menentang VAMOS, saya fikir kami mempunyai sejarah yang baik apabila berhadapan dengan mereka nanti.

"Kami cuba untuk tidak leka dan memastikan bahawa gerakan kami tidak dapat dijangka dalam pertembungan nanti," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan