KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) terus memperkukuh komitmennya dalam melaksanakan agenda transformasi untuk mengembalikan kegemilangannya menerusi kerjasama strategik dan simbolik bersama kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail berkata pihaknya telah menempuh pelbagai cabaran getir sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang disifatkan sebagai ‘menyakitkan’ namun kini mula menampakkan hasil.
Beliau berkata kerjasama terkini MAG bersama juara Liga Perdana Inggeris 13 kali itu mencerminkan keserasian nilai, aspirasi dan visi transformasi kedua-dua organisasi yang mahu melakar kejayaan baharu.
“MAG telah melalui perjalanan berliku dan penuh cabaran namun mempunyai tekad yang tinggi untuk melakukan transformasi demi mengembalikan kegemilangan. Kami sedar bahawa ia bukan mudah, ia menyakitkan. Perjalanan yang dilalui MAG sepanjang lima hingga lapan tahun lepas amat mencabar. Alhamdulillah, hari ini kami mula menikmati kemanisan hasil usaha dan kerja keras kami.
“United juga berkongsi semangat dan matlamat sama. Ia selari dengan aspirasi serta perjalanan transformasi yang sedang dilalui MAG. Mungkin United turut melihat kepada MAG - bagaimana dan di mana mereka boleh mencontohi pendekatan transformasi yang telah kami laksanakan,” katanya pada sidang media Pengumuman Rangkaian MAG dan Jalinan Kerjasama dengan Manchester United di sini hari ini.
Sementara itu, Izham mengakui jenama Malaysia Airlines yang merupakan sebahagian daripada MAG, telah mengalami kemerosotan ketara terutamanya sebelum 2015.
“Jenama itu lenyap, jadi kami memerlukan jenama yang kuat dengan sokongan keluarga besar untuk bersama-sama membangunkannya semula. Dengan itu, pengiktirafan jenama MAG, terutamanya Malaysia Airline dapat dipulihkan semula,” katanya sambil menambah data terkini oleh Brand Finance menunjukkan peningkatan semula nilai jenama Malaysia Airlines.
Terdahulu, Malaysia Airlines mengumumkan beberapa inisiatif bagi memperkukuh kehadiran global dan konektiviti mereka termasuk pelancaran reka bentuk badan pesawat terkini hasil kerjasama dengan pasukan United.
Turut hadir tiga bekas pemain United iaitu Nemanja Vidic, Dimitar Berbatov dan Luis Nani.
Untuk rekod, Malaysia Airlines menandatangani perkongsian strategik dengan United sebagai penerbangan komersial rasmi mereka pada Mac tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial