SUKAN > BERITA

GANDINGAN MANTAP MYKOLA, AGUERO BANTU SRI PAHANG CIPTA KEMENANGAN

20/04/2025 09:42 AM

TEMERLOH, 20 April (Bernama) -- Gandingan mantap pemain Sri Pahang FC,  Mykola Ahapov dan Sergio Fabian Aguero pada aksi terakhir Liga Super menentang Penang FC malam tadi berjaya memberi kemenangan bermakna buat pasukan itu.

Ketua Jurulatihnya Fandi Ahmad berkata ini kerana keserasian yang ditonjolkan dua penyerang import itu banyak membantu pasukan merobek pertahanan lawan sekali gus mencipta jaringan.

"Gandingan Mykola dan Aguero agak luar biasa pada malam ini dengan hantaran tepat mereka ketika menyerang. Penyudah Mykola di hadapan pintu gol lawan juga agak bagus, dia beraksi amat baik di posisi penyerang berbanding sayap yang diletakkan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media  sejurus tamat perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh di sini malam tadi yang menyaksikan Sri Pahang FC menang 3-2 ke atas Penang FC. 

Fandi berkata secara keseluruhan terdapat peningkatan prestasi dalam kalangan pemainnya di atas padang hingga membolehkan mereka membawa pulang tiga mata berharga itu.

"Ada kelemahan ketara pada separuh masa pertama tetapi di babak kedua kita berjaya mengawal permainan.

"Penang FC merupakan sebuah pasukan yang sentiasa berkerja keras dan disebabkan itu aksi ini amat menarik apabila kita sering berbalas serangan dan gol," katanya.

Sementara itu, pengendali Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail berkata beliau berpuas dengan persembahan anak buahnya meskipun bermula agak perlahan.

“Pasukan tidak beraksi seperti dua perlawanan terdahulu dan mereka memberi ruang pemain lawan mara ke kawasan kita. Gol yang dilepaskan kita pula seharusnya boleh dielakkan dan sedikit kelekaan itu dihukum dengan kekecewaan," katanya

--BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan