SUKAN > BERITA

MOHD AZIZULHASNI PERLU BERSAING - BEASLEY

20/04/2025 06:00 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Pengarah Teknikal skuad berbasikak trek kebangsaan John Beasley berkata Datuk Mohd Azizulhasni Awang tidak akan menyertai acara individu pada Kejohanan Dunia 2025 di Santiago, Chile pada 15 hingga 19 Okt depan.

Sebaliknya, beliau berkata pelumba dengan julukan The Pocket Rocketman itu akan dipertimbangkan untuk menyertai acara pecut berpasukan.

Bagaimanapun, Beasley berkata Mohd Azizulhasni perlu merebut tempat dalam pasukan secara merit.

“Mohd Azizulhasni sedar bahawa beliau perlu berusaha sekuat mungkin untuk melayakkan diri menyertai pasukan.

“Tiada tempat secara automatik buat dirinya dalam pasukan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di sini hari ini.

Mohd Azizulhasni perlu bersaing dengan pelumba muda seperti Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Umar Hasbullah, Mohamad Akmal Nazimi Jusena selain Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhamad Ridwan Sahrom.

Semalam, juara dunia keirin 2017 itu mengumumkan keputusan untuk meneruskan kayuhan bagi tempoh dua tahun akan datang dan bergerak secara profesional mewakili Team Azizul selepas Majlis Sukan Negara (MSN) menyalurkan geran individu sebanyak RM200,000 hingga 2026.

Antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan MSN kepada pelumba berusia 37 tahun itu ialah persediaan menghadapi Sukan Asia 2026 dan Sukan Komanwel 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan