KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Malam serba tidak menjadi buat Sabah FC apabila tewas 0-1 kepada Perak FC dalam aksi terakhir Liga Super 2024/2025 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.
Sabah dilihat bergelut sepanjang perlawanan apabila deretan serangan mereka berjaya dipatahkan pertahanan pasukan pelawat dan nasib malang menimpa skuad Sang Badak apabila kapten pasukan Rawilson Batuil tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-29 ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang daripada Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik.
Keadaan bertambah sukar buat tuan rumah selepas pemain pertahanan, R. Dinesh dilayangkan kad merah pada minit ke-42 akibat kekasaran terhadap Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil.
Walaupun The Bos Gaurus terus memberi tekanan pada babak kedua, kedudukan kekal 1-0 hingga tamat permainan namun kekalahan itu tidak menjejaskan kedudukan Sabah yang kekal di tangga ketiga dengan 40 mata di belakang juara, Johor Darul Ta’zim (70 mata) dan Selangor (52 mata).
Sementara itu, Terengganu FC (TFC) menang 3-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu malam ini.
TFC membuka jaringan menerusi kapten pasukan Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-45 sebelum Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili menggandakan gol pada minit ke-74 dan Nurillo Tukhtasinov mengesahkan kemenangan pada minit ke-90.
Sementara itu hasrat Negeri Sembilan FC (NSFC) melakar kemenangan di laman sendiri pada perlawanan akhir Liga Super lebur apabila tewas 1-3 kepada Kuching City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, malam ini.
Kuching City membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti disempurnakan penyerang sensasi Jordan Mintah seawal minit ke-15 berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan NSFC yang menjatuhkan pemain lawan dan disahkan menerusi video bantuan pengadil (VAR).
NSFC terus dihukum apabila kesilapan pertahanan yang gagal mengawal dan menghantar bola dengan baik memberi peluang kepada Petrus Shitembi merampas bola dan menolak kemas ke gawang gol pada minit ke-36 sekali gus meletakkan Kuching City selesa di hadapan pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, NSFC terus mempertingkatkan intensiti perlawanan dan berjaya mendapatkan jaringan pertama apabila Selvan Anbualagan bijak memanfaatkan peluang dalam situasi kelam-kabut di hadapan gawang Kuching City pada minit ke-71.
Kuching City terus menambah duka skuad Jang pada masa kecederaan (90+6) apabila sepakan penalti disempurnakan Mintah tepat pada sasaran.
Sementara itu, Kuala Lumpur City FC menutup musim dengan bergaya apabila menewaskan Kelantan Darul Naim 5-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras bermula dengan pemain tengah, Zhafri Yahya membuka tirai jaringan buat tuan rumah hasil umpanan cantik Jovan Motika dari sebelah kiri padang pada minit ke-24.
Tersentak dengan jaringan itu, pasukan pelawat menyamakan kedudukan menerusi tandukan Adam Danial Md Zaid pada minit ke-45 namun Zhafri kembali mencuri tumpuan dengan gol kedua peribadi pada masa kecederaan babak pertama (45+1).
Sebaik aksi babak kedua bersambung, kedua-dua pasukan rancak memburu gol sebelum Mohamad Fazrul Amir Md Zaman menyamakan kedudukan buat Kelantan Darul Naim pada minit ke-53.
Namun tuan rumah tidak gentar dan terus mengasak dengan beberapa percubaan berbahaya sebelum umpanan pemain tengah Brendan Gan disempurnakan kapten pasukan Paulo Josue pada minit ke-71 disusuli jaringan pemain gantian, Muhammad Haqimi Azim Rosli yang memperbesar kelebihan empat minit kemudian.
Pemain pertahanan KL City, Ryan Lambert tidak ketinggalan mencatat nama selaku penjaring selepas meledak gol kelima pasukannya pada minit ke-88.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial