SUKAN > BERITA

SEBARANG PERUBAHAN DILAKUKAN SELEPAS KEJOHANAN AKUATIK DUNIA 2025 - KEN NEE

29/04/2025 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan skuad terjun kebangsaan Yeoh Ken Nee memutuskan untuk mengekalkan program latihan sedia ada khususnya Skor Kelayakan Minimum (MQS) menjelang Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura pada 26 Julai hingga 3 Ogos depan.

Beliau yang mengambil alih tugas daripada pengendali terdahulu Bryan Nickson Lomas bulan lepas berkata kesemua atlet terjun telah menetapkan sasaran, acara disertai serta MQS mereka dan beliau tidak mahu mengganggu perancangan berkenaan.

“Jika tidak berjalan seperti dirancangkan, barulah saya akan campur tangan dan meneliti keseluruhan pelan induk itu. Mungkin dari aspek latihan, kejurulatihan atau penerjun itu sendiri yang memerlukan perubahan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

MQS adalah penanda aras utama dalam menentukan atlet terjun yang layak mewakili negara di kejohanan antarabangsa.

Sementara itu, Ken Nee berkata Australia, Kanada dan Sepanyol telah menyatakan hasrat untuk mengadakan sesi latihan bersama skuad terjun negara menjelang Kejohanan Akuatik Dunia tahun ini.

Beliau berkata ketiga-tiga negara berkenaan telah meminta untuk menjalani latihan selama lima hari di Malaysia dan berharap Malaysia dapat memenuhi permintaan mereka.

“Australia dan Kanada pernah berada di podium termasuk di Kejohanan Akuatik Dunia. Jadi, inilah yang perlu kita pelajari terutamanya dari segi latihan dan bagaimana mereka mempersiapkan diri untuk Kejohanan Dunia nanti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan