KUCHING, 29 April (Bernama) -- Atlet Muay Thai dari tujuh negara lain adalah antara 250 peserta yang akan berentap dalam Kejohanan Muay Thai Piala Borneo 2025 yang berlangsung serentak dengan Kejohanan Muay Thai Piala TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak dari 1 hingga 4 Mei ini di Tebingan Sungai Kuching.
Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) selaku penganjur kejohanan itu berkata atlet dari Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, United Kingdom, Yaman dan Iran bakal diberi saingan sengit wakil Malaysia.
“Mereka akan bertarung dalam 130 bout kategori Muaythai Muaysport dan 16 pertarungan Superfight Pro yang mempertaruhkan barisan petinju hebat untuk memburu gelaran,” kata Presiden PMNS Jumaat Ibrahim dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya pengenalan Piala Borneo 2025 memberikan sedikit kelainan bagi penganjuran tahun ini dan terbuka untuk rebutan semua kelab yang mengambil bahagian manakala Piala TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak memasuki edisi kesembilan untuk rebutan kelab-kelab di Malaysia.
Katanya kejohanan itu juga menjadi platform pendedahan terbaik kepada atlet tempatan khasnya dari Sarawak memantapkan kemahiran mereka dengan bersaing di pentas antarabagsa.
Jumaat berkata aktiviti kejohanan akan bermula dengan sesi pengenalan peserta dan pasukan serta persembahan seni bela diri bermula 7 malam pada 1 Mei, sebelum acara Muaysport, semi-pro dan beberapa perlawanan profesional pada hari berikutnya bermula 8 pagi.
Turut diadakan perlawanan sukan elektronik (e-sukan) yang akan disertai seramai 256 peserta selain pertunjukan gusti dan Fun Walk Muaythai Piala TYT sebagai acara sampingan di kejohanan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial