KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Stadium Merdeka dikenal pasti sebagai satu daripada pilihan terbaik untuk dijadikan pusat latihan atlet kebangsaan, kata Presiden Olahraga Malaysia (MA) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Beliau berkata perkara itu perlu diselesaikan segera kerana ketiadaan lokasi latihan boleh menjejaskan persiapan ke Sukan SEA Thailand, Disember ini.
“Masalah besar kami adalah atlet dan jurulatih tiada tempat latihan tetap. Kita sedang berikan perhatian kepada beberapa tempat termasuk Stadium Merdeka tetapi tempat ini kena bayar sewa agak tinggi.
“Saya akan berunding dengan pihak kerajaan supaya bagi diskaun sikit kepada kami untuk adakan latihan,” katanya ketika ditemui di Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur di Stadium Merdeka, semalam.
Beliau berkata buat masa ini atlet kebangsaan terpaksa menjalani latihan di beberapa lokasi sementara seperti Institut Penilaian Negara (INSPEN) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana masih belum mendapat maklumat rasmi pembukaan semula Stadium di Majlis Sukan Negara (MSN) yang ditutup bagi tujuan penyelenggaraan.
Sementara itu, Shahidan berkata prestasi atlet negara pada temasya dwitahunan di Thailand hujung tahun ini, akan menjadi cerminan kepada kemampuan Malaysia selaku tuan rumah pada edisi 2027, justeru penting untuk memastikan atlet mempunyai kemudahan latihan yang baik demi mencapai keputusan terbaik.
Beliau memaklumkan ketika ini sebanyak 85 atlet olahraga berada di bawah program MSN merangkumi Program Podium dan pelapis manakala 22 atlet lagi berada di bawah program pembangunan MA.
Selain itu, Shahidan memaklumkan isu pelantikan jurulatih telah diselesaikan termasuk kemasukan semula jurulatih berpengalaman Mohd Poad Md Kassim ke dalam pasukan kejurulatihan kebangsaan.
Beliau berkata enam jurulatih telah diluluskan oleh MSN dengan Mohd Poad sebagai tambahan yang akan menjalankan latihan secara mingguan dan kini hanya menunggu proses surat-menyurat untuk dimuktamadkan secara rasmi.
“Mohd Poad ini tambahan kepada enam jurulatih telah diluluskan tetapi kemungkinan ada penambahan mengikut keperluan dan perkara itu akan dipertimbangkan oleh MSN,” katanya
Mengenai Kejohanan Olahraga Super Series, beliau berkata kejohanan berkenaan telah memberikan impak positif kerana menampilkan banyak bakat baharu berpotensi besar.
“MSN telah bersetuju untuk pergi ke Hong Kong dan Korea Selatan. Kemudian ada dua lagi kejohanan penting yang kita minta untuk sertai iaitu Terbuka Vietnam dan Terbuka Thailand,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial