SUKAN > BERITA

TIGA PEMAIN BINTANG PERKUAT MELAKA TITANS HADAPI STL2025

06/05/2025 10:28 AM

MELAKA, 6 Mei (Bernama) -- Melaka Titans membawa masuk tiga pemain berstatus bintang bagi memperkuatkan pasukan itu menghadapi saingan pada Divisyen 1 Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata tiga pemain berkenaan ialah Mohammad Syahir Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri).

Beliau berkata khidmat pemain kebangsaan itu ditagih bagi membantu skuad negeri berkenaan kembali bersaing dalam kelompok elit dalam Divisyen Premier STL.

“Kehadiran pemain yang cukup dikenali dalam arena sukan sepak takraw negara ini memberikan satu amaran bahawa Melaka Titans sedia menggegar kembali dalam saingan liga tempatan.

“Kita sedia maklum mereka mempunyai pengalaman luas dan kepakaran dalam posisi masing-masing seperti Azlan seorang ‘killer’ yang cukup kreatif selain Syahir iaitu tekong kebangsaan yang tidak asing lagi, manakala Zaim sentiasa tenang di gelanggang,” katanya kepada pemberita di Alai di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Memperkenalkan Pemain Melaka Titans Bagi Kejohanan Liga STL 2025.

Mengulas lanjut, Akramuddin berkata ketiga-tiga pemain itu turut menandatangani perjanjian sehingga hujung tahun ini bagi mewakili Melaka Titans dalam pelbagai kejohanan sepak takraw seperti Piala Tun Ali dan  Piala Emas Khir Johari.

Beliau berkata selain tiga pemain itu, skuad bimbingan ketua jurulatih Khairul Anuar Ibrahim itu juga bakal dibarisi pemain pelapis kelahiran negeri berkenaan yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Kita percaya gabungan pemain berpengalaman dan pelapis ini mampu menjelmakan sesuatu kejayaan untuk Melaka pada saingan kali ini, dan sudah tentu ia hadiah yang amat bermakna,” katanya.

Beliau berkata biarpun Melaka Titans berbelanja besar untuk persediaan musim ini, namun ia dilihat sebagai satu pelaburan yang berbaloi untuk sepak takraw Melaka di samping mengangkat martabat sukan itu untuk ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan sukan ternama lain.

“Kita percaya, kehadiran pemain berpengalaman ini juga mampu menjadi aset kepada PASTAM bagi melahirkan lebih ramai bintang baharu sukan sepak takraw dari Melaka pada masa akan datang.

“Kita juga akan cuba melibatkan mereka dalam klinik sepak takraw yang diadakan di sekolah terpilih bagi mendorong penyertaan lebih ramai pemain muda supaya menjadi pemangkin dan mentor,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan