SUKAN > BERITA

MUHAMMAD SOUFI LENGKAPKAN KOLEKSI PINGAT EMAS PADA KEJOHANAN BOLING PADANG ASIA

06/05/2025 12:03 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Ketua pasukan Muhammad Soufi Rusli melakar sejarah tersendiri apabila menjadi atlet boling padang pertama negara memenangi pingat emas dalam semua kategori senior yang dipertandingkan pada Kejohanan Boling Padang Asia.

Atlet berusia 37 tahun itu yang bergandingan bersama pasangannya Amirul Danial Abdul Rahim melengkapkan koleksi pingat emas selepas menewaskan wakil Hong Kong 21-10 pada aksi final pairs lelaki pada kejohanan yang berlangsung di Filipina minggu lepas.

Muhammad Soufi berkata kejayaan itu tidak hadir dengan mudah kerana beliau berdepan pelbagai tekanan termasuk daripada atlet tuan rumah yang juga juara bertahan dua kali berturut-turut.

“Ini satu-satunya pingat emas (acara pairs) yang saya belum dapat lagi pada kejohanan Asia selepas mula mewakili negara pada tahun 2008. Sebelum ini memang saya tak berpeluang bermain dalam acara ini kerana jurulatih melihat saya lagi hebat dalam acara fours dan triples.

“Jadi, bila jurulatih pilih saya dalam acara ini, saya cuba cabar diri saya untuk memenangi pingat emas dan akhirnya berjaya melakukannya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Untuk rekod, Muhammad Soufi sebelum ini berjaya meraih emas dalam acara single lelaki pada 2017 di India, dua kali pingat emas dalam acara triples pada edisi 2014 dan 2024 selain tiga kali menjadi juara bagi acara fours pada tahun 2014, 2023 dan 2025.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perancangannya tahun ini, anak jati Kuala Lumpur itu berkata fokusnya kini tertumpu pada kejohanan Terbuka Australia yang akan berlangsung di Gold Coast pada Jun ini. 

Beliau juga berharap akan terpilih untuk mewakili negara pada Piala Dunia di Hong Kong (November) dan Sukan Komanwel di Glasgow tahun hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan