SUKAN > BERITA

HERRY NAFI PRESTASI AARON-WOOI YIK MEROSOT

06/05/2025 03:10 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi menafikan bahawa prestasi merosot gandingan juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi punca kekalahan pada saingan suku akhir Piala Sudirman 2025 menentang Jepun, baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau menganggap pasangan negara yang  menghuni ranking keempat dunia itu kurang bernasib baik apabila tewas kepada pasangan di ranking ke-17, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-12, 20-22, 21-23.

“Keputusan perlawanan itu sendiri menunjukkan saingan sengit. Kita menang set pertama kemudian tewas tipis pada dua set berikutnya.

“Bagi saya, ia lebih kepada faktor ‘nasib’ pada mata akhir, bukan kerana prestasi mereka merosot,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan di sini hari ini.

Menurut Herry, pemilihan pemain dibuat secara kolektif oleh barisan kejurulatihan dan Aaron-Wooi Yik diturunkan selepas mengambil kira ‘aura juara’ walaupun pertemuan terkini gandingan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dengan juara dunia 2021 itu berpihak kepada pasangan negara.

Sementara itu, mengenai prestasi terkini Aaron-Wooi Yik selepas menjalani latihan intensif di bawah kendaliannya, Herry berkata pasangan negara itu telah menunjukkan peningkatan namun masih ada ruang untuk penambahbaikan.

“Corak permainan mereka kini berbeza, namun aspek kekuatan fizikal dan kuasa serangan terutamanya dari belakang gelanggang masih perlu ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata Aaron-Wooi Yik seterusnya akan beraksi di Terbuka Thailand pada 13 hingga 18 Mei ini.

“Mereka kekal sebagai antara sandaran utama negara. Dengan kerja keras berterusan, saya yakin mereka mampu bangkit semula dan menampilkan aksi lebih baik pada kejohanan akan datang.

Pada aksi Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China, Malaysia terkandas di suku akhir apabila tewas kepada tuan rumah 3-0. Terdahulu, Malaysia muncul naib juara Kumpulan C, tewas 2-3 kepada Jepun dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan