SUKAN > BERITA

KBS SYOR TAMBAH E-SUKAN, JENIS SUKAN BAHARU DALAM PROGRAM PEMBANGUNAN BAWAH AKTA 576

06/05/2025 06:57 PM

SHAH ALAM, 6 Mei (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesyorkan lebih banyak jenis sukan, khususnya e-sukan yang kian mendapat perhatian dimasukkan ke dalam program pembangunan di bawah Jadual Pertama Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

Pesuruhjaya Sukan (PJS) Suhardi Alias berkata langkah itu akan memberi nilai tambah kepada ekosistem sukan negara, sekali gus membuka ruang baharu kepada atlet berpotensi menempa nama di persada sukan tempatan dan antarabangsa.

"Masih banyak jenis sukan yang boleh dimasukkan ke dalam senarai sedia ada bagi membuka peluang kepada generasi muda untuk terus terlibat dengan kegiatan sihat serta menyerlahkan bakat dan prestasi menerusi sukan masing-masing.

"Akta ini telah melalui beberapa pindaan yang pada asalnya hanya menyenaraikan 39 kepada 103 jenis sukan yang kini menjalani proses pembangunan di bawah kelolaan kementerian menerusi PJS," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan dodgeball digital kebangsaan di Sportizza, di sini hari ini, yang dijadualkan berlepas ke Shanghai, China pada 21 Mei bagi menghadapi saingan Hado World Cup 2025 bermula 23 hingga 25 Mei.

Suhardi berkata setiap jenis sukan yang disyorkan akan melalui beberapa proses penelitian dan perbincangan terlebih dahulu sama ada ia sesuai diklasifikasikan sebagai sukan atau tidak khususnya sukan menggunakan elemen digital.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak usul memasukkan e-sukan ke dalam akta sedia ada malah mengesyorkan mana-mana persatuan atau kelab tampil membentangkan jenis sukan yang dirasakan perlu mendapat sokongan daripada KBS.

"Inisiatif itu sejajar dengan usaha KBS menerusi PJS berhubung takrifan sukan yang sebenarnya boleh diguna pakai terhadap e-sukan yang turut membabitkan elemen mental, fizikal dan kecergasan," katanya.

Jadual Pertama Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) menghimpunkan jenis sukan bagi tujuan panduan dan rujukan mengenai aktiviti dikira sebagai sukan yang disenaraikan di bawah pindaan perintah pembangunan sukan.

Hado World Cup 2025 disertai 18 negara antaranya Amerika Syarikat, Sepanyol, Greece, Korea Selatan dan Australia manakala Malaysia bakal berhadapan dengan sembilan negara di peringkat kumpulan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan