KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berharap siasatan kes simbahan asid terhadap pemain kebangsaan Muhammad Faisal Abdul Halim tetap diteruskan meskipun sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Beliau menyifatkan serangan terhadap tonggak Selangor FC itu sebagai jenayah berat dan menuntut keadilan sewajarnya.
"Saya ada baca kenyataan polis yang menyebut NFA tidak bermaksud siasatan dihentikan, jadi saya lega ia masih diteruskan.
"Saya harap lebih banyak usaha digerakkan untuk mencari pihak yang bertanggungjawab kerana perbuatan ini tidak wajar berlaku terhadap atlet negara," katanya pada sidang media Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 di sini hari ini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menjelaskan siasatan kes berkenaan masih berjalan biarpun diklasifikasikan sebagai NFA, susulan tiada kaitan antara tangkapan dibuat dan bahan bukti seperti rakaman CCTV serta lakaran wajah suspek.
Dalam perkembangan berasingan, Hannah menyatakan sokongan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026 yang bukan sahaja untuk acara lelaki tetapi juga acara wanita.
Katanya PSM perlu memastikan peruntukan dan peluang turut disalurkan kepada atlet wanita.
"Saya sudah maklumkan kepada semua persatuan sukan supaya tidak pilih kasih dan memberi pendedahan serta dana sewajarnya kepada wanita," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial