SUKAN > BERITA

TERBUKA THAILAND: PEARLY-THINAAH MARA KE SUKU AKHIR

15/05/2025 04:46 PM

BANGKOK, 15 Mei (Bernama) -- Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah mengesahkan tiket ke suku akhir Terbuka Thailand selepas menewaskan gandingan Indonesia Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Ramadhanti pada pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Thailand di sini hari ini.

Pada perlawanan di Stadium Nimibutr, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking keempat dunia mengetepikan pasangan Indonesia itu 21-17, 10-21, 21-15, sekali gus melunaskan dendam kekalahan mereka pada Terbuka Malaysia, Januari lepas.

Thinaah berkata mereka gembira dengan kemenangan hari ini, namun percaya masih banyak ruang perlu diperbaiki.

“Kami perlu mengurangkan kesilapan mudah untuk pusingan seterusnya dan pastikan fokus pada setiap mata,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pearly turut mengakui beberapa perkara perlu diperbaiki dan berharap dapat melangkah lebih jauh pada kejohanan ini.

“Kami setuju perlu ada penambahbaikan dalam corak permainan kami dan sangat gembira dapat ke suku akhir,” katanya.

Pearly dan Thinaah dijadual berdepan sama ada pasangan Thailland Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard atau Chen Qing Chen-Wang Ting Ge dari China yang akan beraksi dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua nanti.

Sementara itu, satu lagi beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing terkandas di pusingan kedua selepas tewas 18-21, 7-21 kepada pasangan Indonesia, Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose.

Empat beregu negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Kang Khai Xing-Aaron Tai dijadualkan turut beraksi hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan