SUKAN > BERITA

JONASSEN HARAP KECEDERAAN TZE YONG TIDAK SERIUS

21/05/2025 10:27 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan Kenneth Jonassen berharap pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong tidak mengalami kecederaan serius selepas tersingkir awal pada Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2025 hari ini.

Tze Yong, 25, yang baru sahaja kembali ke gelanggang selepas berehat panjang akibat kecederaan, menunjukkan tanda-tanda positif pemulihan sebelum tergelincir secara tidak sengaja ketika beraksi pada pusingan pertama, dan terpaksa menarik diri ketika sedang mendahului 4-3 pada set kedua, selepas memenangi set pertama 22-20.

“Saya kekal dengan pemikiran positif dan berharap ia bukan sesuatu yang serius. Jelas ada sesuatu yang berlaku, namun kami perlu menunggu keputusan imbasan esok sebelum dapat mengeluarkan kenyataan yang lebih tepat mengenai keadaannya.

“Sudah tentu kami berharap ini hanyalah isu jangka pendek dan kami akan tangani dengan sewajarnya. Apabila sesuatu yang baru berlaku, kita perlu menyesuaikan diri dan mungkin mencari pendekatan atau pemikiran baharu,” katanya kepada pemberita di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Jonassen yang menyifatkan insiden itu sebagai antara detik paling mengecewakan pada kejohanan berkenaan berkata beliau kekal optimis kecederaan yang dialami Tze Yong adalah ringan dan kemungkinan hanya menyebabkan pemain itu terlepas beberapa kejohanan sebelum kembali beraksi, melainkan keputusan perubatan mendedahkan sebaliknya.

Beliau menafikan spekulasi bahawa kecederaan Tze Yong berpunca daripada keletihan susulan penyertaan berturut-turut dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

“Ia tiada kaitan dengan keletihan. Ia hanya berpunca daripada insiden tergelincir. Jika kita berada pada penghujung set kedua atau masuk ke set ketiga, mungkin keletihan boleh menjadi faktor,” jelasnya.

Sejak tahun lepas, Tze Yong berdepan beberapa siri kecederaan termasuk koyakan otot pada bahagian belakang serta kecederaan tulang belakang yang memerlukan tempoh pemulihan dan rehabilitasi panjang sebelum kembali menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) pada 8 hingga 13 April lepas.

Dalam pada itu, kemerosotan prestasi Tze Yong menambahkan lagi kekecewaan yang diakui Jonassen terhadap kempen pemain perseorangan lelaki dan wanita Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada kejohanan berkenaan, apabila kesemua pemain tersingkir seawal pusingan pertama.

“Kita berada di sini untuk memenangi perlawanan. Ya, semangat juang ada tetapi kita perlukan lebih daripada itu. Kejohanan ini memberikan saya gambaran terhadap prestasi setiap pemain dan perkara yang perlu diperbaiki, namun buat masa ini biarlah saya dan pemain yang tahu,” katanya.

Pada perlawanan lain, pemain perseorangan lelaki Justin Hoh tewas kepada pilihan keempat dari Jepun Kodai Naraoka, 14-21, 20-22 dalam perlawanan selama 56 minit, manakala Leong Jun Hao akur dengan kekalahan 21-10, 18-21, 9-21 di tangan pemain Ireland Nhat Nguyen.

Sementara itu, dalam kategori perseorangan wanita, pemain berusia 21 tahun, Letshanaa tewas kepada wakil China Han Qian Xi, 21-10, 19-21, 12-21.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan