SUKAN > BERITA

ENAM NEGARA SAHUT CABARAN SOJC 2025 DI JOHOR BAHRU

01/10/2025 06:52 PM

ISKANDAR PUTERI, 1 Okt (Bernama) -- Enam negara mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, dari 11 hingga 18 Okt ini.

Edisi ke-13 kejohanan berprestij itu bakal menyaksikan persaingan sengit membabitkan juara bertahan, Great Britain, selain Pakistan, Australia, India, New Zealand dan tuan rumah, Malaysia.

Exco Sukan Mohd Hairi Mad Shah berkata penganjuran kali ini amat penting kerana ia turut menjadi medan persediaan skuad muda negara menjelang Piala Dunia Remaja 2025 di Chennai, India, dari 29 Nov hingga 10 Dis ini.

Beliau berkata skuad Young Tigers kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin perlu menjadikan SOJC sebagai pentas menyerlahkan prestasi selepas edisi lalu menyaksikan aksi hambar apabila menamatkan saingan di tangga keenam.

"Kita harus tampil lebih garang, bukan sekadar menjadikan SOJC sebagai pemanas badan menjelang Piala Dunia Remaja di India, Disember ini."

“Pasukan ini perlu meletakkan kejohanan ini pada tahap berprestij kerana yang hadir adalah antara pasukan dalam kelompok terbaik ranking dunia hoki remaja,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Penajaan Pertandingan Hoki Piala Sultan Johor Ke-13 di sini, hari ini.

Beliau turut berharap pendedahan skuad muda negara pada kejohanan di China baru-baru ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya di SOJC, sekali gus mengulangi kejayaan 2011 apabila muncul juara edisi pertama.

Selain itu, katanya SOJC 2025 juga menampilkan kelainan apabila beberapa perlawanan persahabatan membabitkan pasukan hoki SUKMA Johor akan diadakan menentang lima pasukan yang menyertai kejohanan itu.

“Berbeza dengan edisi terdahulu, kali ini kita mahu penganjuran turut memberi manfaat kepada pembangunan sukan di Johor.

“Inisiatif ini memberi pendedahan lebih luas kepada atlet, khususnya skuad SUKMA Johor, sekali gus membantu persediaan mereka menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor, Ogos depan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan