KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Penganjuran perlumbaan berbasikal lebuh raya Le Tour de Langkawi (LTdL) musim hadapan berkemungkinan diambil alih Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selepas dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) sejak 2023, yang berakhir tahun ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata LTdL sememangnya dikenali sebagai produk sukan cukup berjaya, bahkan memberi sumbangan selaku produk pelancongan dalam negara.
“Saya dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing memang menyokong LTDL. Kami sedang selaraskan sama ada lebih sesuai bawah MOTAC atau MSN sebab mereka lebih fokus kepada sukan-sukan elit, sukan-sukan prestasi tinggi yang menangkan pingat untuk Malaysia.
“Perbincangan itu sedang berjalan. LTDL menghebahkan kepada negara Eropah dan mendorong destinasi-destinasi negara kita dipromosikan kepada mereka,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kem final klinik Liga Sepak Takraw (STL) 2025 di Akademi Sepak Takraw Malaysia hari ini.
Beliau berkata sekiranya LTdL diletakkan di bawah MOTAC, dana boleh disalurkan melalui usahasama antara kementerian termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Semalam, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengekalkan status penganjuran ProSeries kepada jelajah berbasikal tertua Asia berkenaan bagi tempoh tiga tahun bermula 2026 hingga 2028.
Naib Presiden UCI Datuk Amarjit Singh ketika mengesahkan perkara itu berkata keputusan telah dikeluarkan secara rasmi dalam kalendar UCI, sekali gus menandakan kejayaan besar buat Malaysia untuk terus diiktiraf sebagai antara penganjur terbaik jelajah berbasikal dunia.
Namun, Amarjit berkata belum ada sebarang kepastian berhubung penganjur LTdL 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial