SUKAN > BERITA

TERBUKA ARTIK 2025: PEARLY-THINAAH MARA KE PUSINGAN 16 TERBAIK

08/10/2025 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) --  Beregu wanita negara Pearly Tan dan M. Thinaah mara ke pusingan 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Artik 2025 selepas menewaskan pasangan Denmark Natasja P. Anthonisen-Amalie Cecilie Kudsk di Vantaa, Finland hari ini.

Pada aksi pusingan 32, pasangan nombor dua dunia itu hanya mengambil masa 32 minit untuk mencatat kemenangan 21-13, 21-14 ke atas pasangan nombor 127 dunia itu, dalam pertemuan pertama mereka.

Pearly-Thinaah seterusnya akan berdepan pasangan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Trias Puspitasari bagi memburu tempat ke suku akhir.

Mengikut jejak rakan sepasukan, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut melangkah ke pusingan 16 selepas menewaskan pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dengan keputusan 21-18, 21-15.

Pasangan pilihan utama kejohanan itu bakal berdepan rakan senegara Low Hang Yee-Ng Eng Cheong pada aksi seterusnya.

Satu lagi pasangan negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri turut mara selepas menundukkan gandingan China, Huang Di-Liu Yang  23-21, 22-20.

Mereka akan menentang sama ada pasangan Perancis Eloi Adam-Leo Rossi atau gandingan Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley dalam pusingan berikutnya.

Sementara itu, beregu negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dijadual menentang wakil Sweden Mio Molin-Max Svensson pada awal pagi nanti.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan