SUKAN > BERITA

JARINGAN LAQUINTANA BANTU URUGUAY ATASI REPUBLIK DOMINIKA 1-0 DI BUKIT JALIL

10/10/2025 11:42 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Juara Piala Dunia dua kali Uruguay terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Republik Dominika 1-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil  di sini malam ini.

Pemain tengah Ignacio Laquintana muncul sebagai wira La Celeste selepas menjaringkan satu-satunya gol perlawanan pada babak kedua, menebus maruah pasukan Amerika Selatan itu yang kini  berada di ranking ke-15 dunia itu dan sudah mengesahkan slot ke Piala Dunia 2026.

Bermain tanpa beberapa pemain bintang akibat kecederaan dan isu kesihatan, Uruguay menguasai bola lebih banyak sejak awal, tetapi gagal menembusi pertahanan lawan yang memilih untuk duduk dalam di kawasan sendiri.

Republik Dominika yang hanya melancarkan serangan sporadis, hampir mendahului pada minit ke-29 melalui serangan balas tetapi sepakan rendah penyerang Dorny Romero berjaya ditepis penjaga gol Christopher Javier.

Perlawanan menjadi lebih rancak selepas separuh masa apabila kedua-dua pasukan meningkatkan usaha menyerang bagi mencari gol pembukaan. Keadaan ini mendorong jurulatih Uruguay, Marcelo Bielsa melakukan lima pertukaran pemain secara serentak.

Tindakan itu membuahkan hasil apabila Laquintana memecah kebuntuan pada minit ke-60 dengan rembatan padu yang menewaskan Xavier.

Selepas menentang Republik Dominika, Uruguay akan menamatkan jelajah mereka di Malaysia menentang Uzbekistan di Stadium Hang Jebat, Melaka, Isnin ini.

--  BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan