JOHOR BAHRU, 11 Okt (Bernama) -- Pasukan Young Tigers bimbingan Ketua Jurulatih Nor Saiful Zaini Nasiruddin tewas 2-7 kepada Pakistan dalam aksi pembukaan Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini malam ini.
Pakistan membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti oleh Sufyan Khan.
Malaysia menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-20 hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Ammar Qusyairi Abd Halim, namun seminit kemudian Sufyan sekali lagi menjaringkan gol untuk meletakkan Pakistan di depan 2-1.
Kapten Pakistan Hannan Shahid menambah jaringan ketiga menerusi gol padang pada minit ke-30.
Pakistan terus menambah dua gol lagi melalui Khan Nadeem pada minit ke-32 dan Sufyan pada minit ke-34, kedua-duanya menerusi pukulan sudut penalti untuk mendahului 5-1.
Malaysia merapatkan kedudukan 2-5 seminit kemudian apabila Azimuddin Shakir Kamaruddin menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Rentak Pakistan sukar dibendung pada separuh masa kedua apabila Khan Nadeem sekali lagi menjaringkan gol keenam pada minit ke-44 melalui pukulan sudut penalti, disusuli jaringan padang oleh Fayyaz Hamza pada minit ke-52 untuk mengesahkan kemenangan 7-2.
Dalam sidang media pascaperlawanan, Nor Saiful menjelaskan kekalahan Young Tigers berpunca daripada tahap kematangan pasukan yang belum cukup untuk menguasai sepenuhnya corak permainan terbuka.
“Kita tidak boleh lagi mengamalkan cara lama yang hanya menunggu bola. Sebaliknya, kita perlu bermain secara terbuka, satu lawan satu. Jika dilihat pada perlawanan tadi, kita ada peluang, tetapi masih banyak aspek yang boleh diperbaiki untuk aksi akan datang. Pasukan Pakistan berpengalaman dan ada pemain yang juga bermain untuk skuad senior,” katanya.
Terdahulu, pasukan India menewaskan Great Britain 3-2 dalam aksi pembukaan kejohanan.
Skuad Young Tigers dijadualkan berdepan Australia pada 6.15 petang esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial