SUKAN > BERITA

HAKIM DANISH SUDAH ‘PANASKAN’ TREK SEPANG - AZHAN

13/10/2025 07:20 PM

SEPANG, 13 Okt (Bernama) -- Pelumba muda berbakat negara Hakim Danish Ramli yang bakal beraksi sebagai wildcard dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (MotoGP) Malaysia 2025 telah menjalani beberapa sesi latihan menggunakan jentera KTM Factory di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata pihaknya yakin pelumba berusia 18 tahun itu sudah bersedia untuk bersaing di pentas tertinggi pada perlumbaan yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 Okt ini.

“Setakat ini, dia sudah menjalani beberapa siri latihan di trek ini. Saya sempat berbual dengannya semalam dan dia memang sangat teruja untuk berada di sini.

“Harapan saya cuma satu -- jangan jatuh. Kekal fokus dan insya-Allah kita semua berada di belakangnya,” katanya ketika ditemui selepas taklimat trafik dan keselamatan sempena perlumbaan MotoGP 2025 di SIC, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa jentera yang digunakan Hakim Danish adalah spesifikasi terbaik disediakan pasukan, sekali gus menolak dakwaan kononnya pelumba itu menggunakan jentera lama atau kurang kompetitif.

Azhan Shafriman berkata penyertaan Hakim Danish menjadi tumpuan utama pihak SIC selain perebutan kedudukan kedua dalam kejuaraan dunia selepas Marc Marquez menamatkan kempen MotoGP lebih awal selaku juara di Litar Motegi, Jepun, bulan lepas.

Menurutnya persiapan perlumbaan kini berada di fasa akhir, dengan jualan tiket telah mencecah 85 peratus kapasiti, sementara sasaran kehadiran penonton kekal 200,000 orang sepanjang hujung minggu perlumbaan.

“Harapnya kita dapat capai sasaran 200,000 tahun ini. Tahun lalu, kita kurang lebih 15,000 daripada jumlah itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kemudahan parkir tidak lagi percuma tahun ini dengan kadar RM10 untuk motosikal dan RM20 untuk kereta.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan