SUKAN > BERITA

1,500 ATLET BAKAL SERTAI IRONMAN MALAYSIA KE-10 DI LANGKAWI

14/10/2025 12:56 PM

ALOR SETAR, 14 Okt (Bernama) -- Sebanyak 1,500 atlet dari 56 negara telah mengesahkan penyertaan mereka dalam IRONMAN Malaysia edisi ke-10 yang akan berlangsung di Langkawi dari 30 Okt hingga 2 Nov ini.

Pengarah Serantau IRONMAN Asia CG Lim berkata perlumbaan itu akan merangkumi acara renang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal (180 km) dan larian maraton sejauh 42.2 km.

"Sebanyak 500 atlet Malaysia akan bersaing dalam acara penuh IRONMAN Malaysia dan IRONMAN 70.3 Langkawi.

"Secara keseluruhan, perlumbaan itu akan menghimpunkan 1,500 atlet, 5,000 penonton dan 1,250 sukarelawan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata ramai atlet triatlon tempatan akan memulakan perjalanan mereka ke Langkawi, kali pertama merasai cabaran IRONMAN sebelum melangkah ke pertandingan antarabangsa.

"Dengan berlatarbelakangkan syurga tropika, perlumbaan itu akan membawa atlet mengembara melalui pelbagai landskap budaya menarik di Langkawi," katanya.

Beliau berkata selama sedekad lepas, IRONMAN Malaysia secara konsisten telah memberikan impak ekonomi yang besar kepada Langkawi. Sejak 2014, acara itu menjana kira-kira RM248 juta terhadap kesan ekonomi keseluruhan, dengan kemuncaknya hampir RM38 juta pada 2019 sebelum kembali meningkat selepas pandemik dengan RM23.8 juta dicatatkan tahun lepas.

Lim berkata edisi kali ini dijangka meneruskan momentum itu, sekali gus mengukuhkan reputasi Langkawi sebagai satu daripada destinasi sukan lasak terkemuka di rantau ini.

"Edisi ke-10 ini bukan sekadar perlumbaan, tetapi menandakan sedekad pembinaan komuniti, pendedahan global dan ketahanan bersama. Perlumbaan ini juga menjadi platform untuk rakyat Malaysia mengejar impian mereka, dengan ramai antara mereka berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia IRONMAN di Kona, Hawaii," katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan