SUKAN > BERITA

MLBB CETUS REVOLUSI E-SUKAN DI MALAYSIA

22/10/2025 09:38 AM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Suasana di luar sangat tenang, namun di alam maya segalanya berubah menjadi medan yang bingit dan penuh strategi.

Jari-jemari Muhammad Danial Fuad, 23, pantas ‘menari’ di atas skrin telefon pintar sambil matanya tertumpu ke arah pergerakan watak dalam permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

Bagi Muhammad Danial atau lebih dikenali CikuGais, MLBB bukan sekadar permainan video tetapi telah mengubah kehidupannya 360 darjah.

“Saya mula dengan masuk kejohanan kecil, lepas itu perlahan-lahan kami buat duit. Daripada situ, saya perasan MLBB bukan sekadar permainan tetapi kerjaya yang boleh buat duit,” katanya, yang kini menjadi pemilik pasukan profesional MLBB, CG Esports.

Dilancarkan pada 2016 sebagai permainan video bergenre arena pertempuran dalam talian berbilang pemain (MOBA), MLBB kini berkembang menjadi satu fenomena global serta pemangkin kepada kebangkitan industri sukan elektronik atau e-sukan di Malaysia.

Bermula daripada kejohanan kecil di kafe siber, MLBB kini gah dengan liga profesional yang tersendiri Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia (MPL MY) yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta, menurut laman sesawang esportschart.com.

Sejak diperkenalkan pada 2018, MPL MY yang kini memasuki musim ke-16 terus memacu populariti e-sukan negara apabila berjaya menarik jutaan tontonan dalam talian, di samping mengisi arena dan stadium utama di seluruh Malaysia. 

Ia bukan sahaja melahirkan bintang tempatan tetapi turut membuka laluan kepada anak muda menembusi pentas antarabangsa dan menjadikan e-sukan sebagai masa depan kerjaya mereka.

Antara kisah kejayaan lahir daripada liga itu termasuk pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia apabila memenangi Kejohanan Piala Pertengahan Musim MLBB 2024 selain bergelar naib juara edisi 2025, sekali gus mengubah persepsi masyarakat terhadap e-sukan.

“Waktu awal saya main orang cakap sukan ini merugikan tapi sekarang orang dah pandang ia sebagai satu kerjaya dan bila nak jelaskan dekat orang dah tiada rasa malu.

“Saya rasa MPL MY punya kesan itu memang besar sangat sebab sekarang orang dah mula tengok dan ubah persepsi masyarakat mengenai e-sukan itu sendiri,” kata pemain profesional MLBB Mohammad Zul Hisham Mohd Noor.

Selain membuka peluang kepada belia, MLBB turut membawa satu lagi perubahan ketara iaitu memperkasakan peranan wanita dalam dunia e-sukan yang selama ini didominasi kaum lelaki.

Kini, semakin banyak wanita tampil menyerlah sebagai pemain, pengulas dan pengurus pasukan termasuk Mariah Ahmad yang kini berperanan sebagai penganalisis bagi pasukan CG Esports.

“Saya rasa dalam MLBB ini tiada masalah jantina, asalkan anda benar-benar mahir dalam apa yang anda lakukan. Itulah yang terbaik tentang MLBB. Stereotaip itu memang ada tetapi seperti yang saya katakan, jika kuat dan tiada diskriminasi, itu yang baik,” kata Mariah.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim sebelum ini turut menyatakan bahawa sokongan kerajaan terhadap MLBB bukan disebabkan populariti semata-mata, sebaliknya berdasarkan impak besar yang dibawa permainan itu kepada pembangunan belia dan ekonomi digital negara.

“Ia bukan sekadar permainan, ia telah membantu merangsang pertumbuhan ekonomi digital, meningkatkan penglibatan belia serta menjadi platform untuk masyarakat menikmati serta lebih memahami ekosistem e-sukan. Kami bukan hanya bercakap mengenai permainan atau sebagai atlet, kami menghasilkan pakar dalam pelbagai bidang seperti penyiaran, kejurulatihan dan pemakanan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pembangunan Perniagaan Esports Malaysia Moonton Games Krystal Tan berkata kejayaan MLBB di Malaysia berpunca daripada keunikan budaya komuniti yang dekat dengan jiwa rakyat negara ini.

“MLBB adalah antara permainan paling popular di Malaysia kerana ia mudah dimainkan dan diminati ramai. Anda hanya memerlukan telefon dan beberapa rakan dan itulah cara kebanyakan rakyat Malaysia bermula.

“Apa yang menarik tentang MLBB ialah cara ia menghubungkan rakan, keluarga dan seluruh komuniti yang berkumpul melalui permainan,” katanya.

Beliau berkata sejak diperkenalkan sembilan tahun lepas, MLBB kini menjadi jenama yang cukup sinonim dengan masyarakat Malaysia hasil pelaksanaan strategi pembangunan peringkat akar umbi. 

“Kami telah membina laluan yang jelas untuk membina kerjaya yang mampan, bukan sahaja sebagai atlet tetapi jurulatih, pelakon, pasukan produksi dan pemimpin masyarakat,” katanya.

Kini, MLBB bukan lagi sekadar hiburan di hujung jari tetapi menjadi simbol perubahan sosial, ekonomi dan generasi baharu Malaysia yang melihat e-sukan sebagai masa depan mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan