SUKAN > BERITA

NORZA DILANTIK PENGERUSI SURUHANJAYA ETIKA ISSA

23/10/2025 05:28 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Etika Persatuan Sukan Perpaduan Islam (ISSA) berkuat kuasa semalam.

Menerusi kenyataan hari ini, MOM memaklumkan bahawa pelantikan ke jawatan berprestij itu mendapat perkenan Presiden ISSA, Putera Abdulaziz bin Turki Al-Faisal, yang juga Menteri Sukan Arab Saudi serta Presiden Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi.

ISSA ialah pertubuhan sukan antarabangsa di bawah naungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang ditubuhkan pada 1985 bagi memupuk perpaduan, persahabatan dan kerjasama antara negara Islam melalui sukan, selain memperkukuh pembangunan sukan dalam dunia Islam.

Suruhanjaya Etika ISSA ditubuhkan bagi menyelia dan memantau hal berkaitan etika, tatakelakuan serta tadbir urus sukan dalam kalangan negara anggota, selaras dengan matlamat memperkukuh Pergerakan Sukan Islam dan penganjuran temasya Sukan Perpaduan Islam yang disertai 57 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) anggota ISSA.

“Norza, yang kini memegang jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara; Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Badminton Malaysia (BAM); Presiden Kehormat Badminton Asia; serta Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF), diberikan kepercayaan oleh kepimpinan ISSA untuk mengetuai Suruhanjaya Etika yang baru ditubuhkan itu.

“Pelantikan ini dibuat sebagai pengiktirafan terhadap pengalaman luas beliau, integriti tinggi serta komitmen teguh terhadap prinsip etika dan tadbir urus terbaik dalam sukan,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu turut dibantu dua tokoh berpengalaman, iaitu Dr Boubakari Maiga, Ketua Jabatan Belia dan Sukan OIC, serta Shaikha Dr Hussa binti Khalid Al-Khalifa, Ahli Lembaga Pengarah Jawatankuasa Olimpik Bahrain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan