KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini melancarkan Projek Dengar Rakan Muda yang bertujuan menyediakan ruang selamat untuk golongan belia mendapatkan sokongan emosi dan sosial secara percuma bermula 1 Nov.
Projek itu dilaksanakan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan kerjasama UEM Sunrise Bhd yang menyediakan lokasi pelaksanaan di Publika Shopping Gallery, HELP University serta pertubuhan Sedia Bersahabat (The Befrienders Kuala Lumpur) yang menugaskan sukarelawan terlatih.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata program tersebut merupakan inisiatif di bawah gaya hidup Rakan Prihatin KBS bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 sebagai usaha memperkukuh sokongan komuniti kepada belia.
“Kesihatan mental bukan lagi isu pinggiran. Ia kini menjadi antara cabaran sosial terbesar dihadapi belia Malaysia.
“Projek Dengar Rakan Muda diwujudkan bagi menyediakan ruang selamat iaitu belia boleh datang untuk berkongsi dan didengari tanpa penilaian, stigma atau prejudis dengan segala interaksi adalah sulit,” katanya.
Hannah berkata demikian selepas melancarkan Projek Dengar Rakan Muda di Publika Shopping Gallery di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KBS Datuk Dr K. Nagulendran dan Ketua Pengarah JBSN Azura Abidin.
Selain itu, beliau berkata antara objektif pelaksanaan projek ialah untuk menyediakan platform sokongan kesihatan mental dan emosi kepada belia serta meningkatkan kesedaran bahawa kesihatan mental adalah sama penting dengan kesihatan fizikal.
Beliau berkata ia juga bertujuan mengurangkan stigma agar golongan muda lebih berani mendapatkan bantuan profesional serta memperkasakan belia sebagai ejen perubahan dalam komuniti mereka sendiri.
Hannah berkata KBS akan berusaha memperluas pelaksanaan projek ke lokasi lain di seluruh negara melalui JBSN bagi menyediakan platform selamat yang membolehkan belia berinteraksi dan mendapatkan bantuan tanpa rasa takut atau stigma.
“Kalau program ini diadakan di hospital, mungkin mereka berasa segan atau takut untuk hadir. Sebab itu kita adakan di lokasi seperti pusat beli-belah yang lebih mesra belia dan mudah diakses.
“Mereka boleh datang sekadar untuk berbual dan sekiranya perlu, kami akan bantu menyalurkan mereka kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Program itu diadakan secara percuma pada Sabtu minggu pertama setiap bulan dari 10 pagi hingga 2 petang di sini bermula 1 Nov.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial