SUKAN > BERITA

PEMAIN GAGAL KEKAL MOMENTUM, IMIGRESEN FC TERLEPAS PELUANG CATAT KEMENANGAN PERTAMA

27/10/2025 01:27 AM

BATU KAWAN, 26 Okt (Bernama) -- Kegagalan pemain mengekalkan momentum pada babak kedua permainan meranapkan impian Imigresen FC (IFC) melakar kemenangan pertama pada saingan Liga Super selepas seri 2-2 dengan Sabah FC di Stadium Negeri Batu Kawan di sini hari ini.

Ketua Jurulatih Imigresen FC (IFC) Yusri Che Lah berkata walaupun pemain menunjukkan semangat juang tinggi sepanjang perlawanan, namun kelekaan selepas mendahului memberikan ruang kepada pasukan lawan untuk bangkit dan menyamakan kedudukan.

“Sudah tentu banyak lagi kerja rumah untuk para pemain saya kerana hari ini sekali lagi kami dihukum pada awal permainan dan gagal mengekalkan rentak pada babak kedua.

“Sudah pasti bukan sahaja pemain, saya sendiri bertanggungjawab di atas keputusan ini. Sebolehnya kami ingin mengakhiri perlawanan dengan kemenangan tetapi apakan daya hari ini tidak berpihak kepada IFC,” katanya selepas tamat perlawanan di sini hari ini.

Meskipun belum menang selepas tujuh perlawanan, Yusri berkata ia bukan alasan untuk mengendurkan semangat, sebaliknya mahu anak buahnya bermuhasabah diri dengan menilai keupayaan masing-masing serta memberikan fokus sepenuhnya pada perlawanan akan datang.

Beliau berkata pasukan juga tidak boleh terus berada dalam tekanan dan cuba memperbaiki kelemahan jika ingin mengubah kedudukan dalam liga.

Mengulas mengenai aksi menentang Penang FC pada 2 Nov ini, Yusri berkata lawan mereka itu menunjukkan peningkatan dalam tiga perlawanan terakhir dan beliau mahu skuad The Mighty Tigers segera bangkit untuk mencipta momentum kemenangan.

Sementara itu, ketua jurulatih Sabah FC Jean-Paul de Marigny menyifatkan anak buahnya beraksi agak perlahan pada babak pertama sebelum bangkit lebih agresif selepas rehat.

“Kami bermula agak perlahan, pemain tidak cukup agresif dan tidak mempunyai keberanian memegang bola tetapi penghargaan kepada mereka kerana melawan dan beraksi lebih baik pada separuh masa kedua. Itulah bola sepak dan mentaliti yang kita mahu lihat,” katanya.

Pengendali dari Australia itu berkata fokus pasukan itu kini tertumpu kepada pemulihan sebelum berdepan Kelantan The Real Warriors (TRW) pada aksi timbal balik Piala FA Rabu ini diikuti Selangor pada aksi liga pada 1 Nov.

IFC kekal menghuni tangga tercorot Liga Super dengan mengutip tiga mata daripada tujuh perlawanan, manakala Sabah FC di kedudukan kesepuluh dengan hanya perbezaan satu mata.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan