SUKAN > BERITA

MOTOGP MALAYSIA 2025 TARIK LEBIH 195,000 PENGUNJUNG - SIC

27/10/2025 09:12 AM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia 2025 yang berakhir semalam mencatatkan jumlah pengunjung sebanyak 195,000 orang sepanjang perlumbaan pada hujung minggu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif berkata jumlah itu tetap menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas, meskipun penganjuran kali ini bertembung dengan Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung serentak.

“Walaupun kita tidak mencapai sasaran 200,000 orang, Alhamdulillah sambutan tetap menggalakkan. Ramai yang hadir walaupun terdapat penutupan jalan susulan Sidang Kemuncak ASEAN.

“Apa yang kami lihat, tempat duduk di grandstand penuh dengan penonton yang datang memberi sokongan kepada semua pelumba dalam kejohanan ini,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata peningkatan tersebut sekali gus menyumbang kepada jumlah kutipan jualan tiket yang cukup memberangsangkan.

“Alhamdulillah, tahun ini jumlah jualan tiket meningkat berbanding tahun lepas namun masih ada ruang penambahbaikan terutama dari segi strategi jualan tiket untuk tahun depan.

“Promosi ‘beli satu percuma satu’ turut diperkenalkan sejak hari pertama, dan walaupun jumlah kutipan keseluruhan belum diterima, trend semasa menunjukkan peningkatan positif berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Mengulas pertembungan dengan Sidang Kemuncak ASEAN, Azhan Shafriman mengakui pada awalnya bimbang dengan penutupan dan lencongan trafik namun keadaan sebenar menunjukkan peningkatan pengunjung hasil kerjasama pihak berkuasa.

“Ramai penonton datang lebih awal bagi mengelak kesesakan jalan dan lencongan. Walaupun kesesakan masih berlaku, ia sememangnya sesuatu yang sukar dielakkan setiap tahun.

“Untuk tahun hadapan, kita akan merancang dengan lebih baik dari segi aliran trafik masuk ke litar. Diharapkan para pengunjung yang datang awal dapat menikmati perlumbaan tanpa tekanan akibat kesesakan,” katanya.

Tambah beliau, fasiliti sedia ada di SIC termasuk kemudahan tandas juga akan ditambah baik bagi meningkatkan keselesaan pengunjung pada musim hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan