KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kehadiran Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman dalam satu majlis yang turut dihadiri Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino di ibu negara baru-baru ini, adalah atas kapasiti peribadi dan bukan mewakili urusan rasmi badan induk itu.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan gambar yang disiarkan oleh sebuah portal berita hari ini dirakam di luar acara rasmi FAM mahupun FIFA.
“FAM mengambil maklum laporan yang disiarkan portal berkenaan mengenai penyiaran gambar membabitkan Datuk Noor Azman bersama Gianni Infantino.
“Untuk makluman, gambar itu dirakam di luar acara atau majlis rasmi FAM mahupun FIFA dan kehadiran Datuk Noor Azman adalah atas kapasiti peribadi beliau serta tidak membawa sebarang urusan rasmi FAM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Yusoff berkata sejak dikenakan hukuman penggantungan tugas pada 17 Okt lepas, Noor Azman tidak terlibat dalam sebarang aktiviti, mesyuarat atau program rasmi FAM.
Sehubungan itu, beliau berharap penjelasan berkenaan dapat memperjelas kekeliruan yang mungkin timbul susulan laporan portal tersebut.
Pada 17 Okt lepas, Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram mengesahkann Noor Azman digantung tugas serta-merta selepas keputusan tatatertib dibuat berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.
Bulan lepas, FAM bersama tujuh pemain warisan – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel – dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Dalam kenyataan sebelum ini, FIFA menjelaskan FAM mengemukakan dokumen dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit untuk beraksi pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, pada 10 Jun lalu.
Susulan itu, FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis keputusan dikeluarkan.
FAM sebelum ini menjelaskan kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen melibatkan tujuh pemain berkenaan dilakukan oleh seorang pegawai pentadbiran.
Badan induk itu juga tidak menolak kemungkinan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya rayuan di peringkat FIFA tidak membuahkan hasil positif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial