SUKAN > BERITA

PDRM JUARA EDISI KE-60 INTER FORCE GAMES (IFG)

30/10/2025 09:49 PM

KUANTAN, 30 Okt (Bernama) -- Kontinjen Sangsaka Biru muncul juara keseluruhan dengan memenangi empat daripada lima acara sukan yang dipertandingkan pada edisi ke-60 Inter Force Games (IFG) antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) di sini hari ini.

Kejohanan tahunan yang mempertemukan dua pasukan keselamatan itu — PDRM dengan ngan 84 atlet dan SPF dengan 77 atlet — berlangsung sejak Selasa lepas hingga hari ini di sekitar Kuantan.

PDRM membuka kempen cemerlang dengan menjuarai acara golf di Kelab Golf Diraja Pahang sebelum menewaskan SPF 5-2 dalam aksi badminton yang berlangsung di Dewan Persatuan Badminton Pahang, Indera Mahkota.

Rentak kemenangan diteruskan menerusi skuad futsal wanita yang mengatasi SPF 2-0 di Kompleks Sukan Pahang. Bagaimanapun, SPF hanya mampu mencatat satu kemenangan apabila menewaskan PDRM 57-55 dalam acara bola jaring di Indoor Arena Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan.

Aksi penutup dalam acara bola sepak di Stadium Darul Makmur menyaksikan Ketua Staf Pasukan Khas ESSCOM, SAC Nasri Mansor, muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-54, sekali gus mengesahkan kemenangan 1-0 buat PDRM.

Perlawanan itu turut disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay serta Timbalan Pesuruhjaya Polis Singapura How Kwang Hwee.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan