KUALA NERUS, 31 Okt (Bernama) -- Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super selepas membenam Terengganu FC (TFC) 5-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam ini.
Kejayaan yang diraih pasukan kendalian Xisco Munoz itu merupakan kemenangan kesembilan berturut-turut musim ini sekali gus membolehkan skuad Harimau Selatan meluaskan lagi jurang dengan pasukan lain di persada liga.
Pasukan pelawat bermula garang dengan menggempur kubu pertahanan tuan rumah menghasilkan jaringan awal pada minit keempat menerusi penyerang sensasinya Bergson Da Silva yang melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti.
Pada minit ke-22 JDT berpeluang menambah jaringan namun percubaan Antonio Glauder tinggi melepasi palang.
Bagaimanapun, kekecewaan tersebut berjaya ditebus pemain naturalisasi Romel Morales yang menyempurnakan hantaran lambung Mohd Afiq Fazail untuk JDT mendahului 2-0.
Bersambung babak kedua, JDT yang diketuai Matthew Davies meneruskan penguasaan apabila meledak tiga gol tambahan untuk meninggalkan TFC jauh di belakang.
Pemain gantian Jairo Da Silva muncul wira JDT apabila menyumbang tiga gol pada minit ke-63, ke-70 dan ke-76, sekali gus mencipta hatrik perlawanan.
Dengan kemenangan tersebut, JDT berjaya memperkukuh cengkaman di persada liga dengan 27 mata daripada sembilan perlawanan manakala TFC kekal di tangga keempat dengan 13 mata daripada lapan perlawanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial