SUKAN > BERITA

REGATTA SARAWAK: LANDAS AZAM KASIHNYA WARISAN 1 DINOBATKAN ‘JUARA SUNGAI’

02/11/2025 08:01 PM

KUCHING, 2 Nov (Bernama) -- Pasukan Landas Azam Kasihnya Warisan 1 dinobatkan sebagai Juara Sungai bagi kategori utama Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki pada Regatta Sarawak 2025 yang melabuhkan tirainya hari ini.

Pasukan yang mengemudi perahu nombor dua itu muncul juara sekali gus menjulang Piala Yang di-Pertua Negeri Sarawak selain membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.

Tempat kedua dimenangi oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA)-10 yang menerima RM20,000, manakala UDAK 36 di tempat ketiga dengan RM10,000.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berangkat menyaksikan acara berprestij itu bersama Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Terdahulu, Abang Johari mencuri perhatian pada Majlis Penutupan Regatta Sarawak 2025 dan Festival Tebingan Kuching 2025 apabila tampil bergaya menaiki jet ski merentas Sungai Sarawak sebagai gimik sebelum pertandingan lumba perahu bermula. 

Selesai majlis penutupan, baginda berdua berkenan melawat Festival Kraf Borneo Sarawak 2025 yang diadakan di Tebingan Kuching.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan