KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu meneliti terlebih dahulu motivated decision atau alasan bertulis daripada Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum mencabar kes dokumentasi tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Peguam komersial dan sukan Nik Erman Nik Roseli berkata hanya melalui alasan bertulis itu FAM dapat menilai sama ada wujud kesilapan fakta atau undang-undang yang boleh dijadikan asas kukuh untuk rayuan.
“Setakat ini sukar untuk memberi gambaran jelas mengenai peluang FAM di CAS berdasarkan tahap ketelusan dan maklumat dikongsikan kepada umum oleh badan memayungi bola sepak negara itu,” katanya kepada Bernama.
Nik Erman juga tidak menolak kemungkinan kos membawa kes itu ke CAS boleh mencecah jutaan ringgit.
Sementara itu, bekas Setiausaha Agung FAM Datuk Seri Azzuddin Ahmad berkata FAM perlu mengambil iktibar daripada isu yang mencemar nama bola sepak negara itu.
Beliau yang memegang jawatan itu dari 2007 hingga 2013 secara peribadi berpendapat FAM bakal menempuh laluan berliku sekiranya meneruskan hasrat membawa kes ke CAS antaranya berisiko tinggi untuk berdepan hukuman lebih berat daripada FIFA selain kemungkinan menanggung kos yang besar.
“Implikasinya (jika bawa ke CAS) saya takut organisasi kita (FAM) digantung kerana kita nampaknya melawan arus memandangkan segala bukti-bukti telah terbentang di hadapan kita daripada FIFA.
“Kita harus ingat banyak lagi tindakan boleh diambil (oleh FIFA),” katanya kepada pemberita pada acara Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports bersama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Stadium Merdeka di sini hari ini.
Isnin lepas, FIFA menolak rayuan dibuat FAM dan tujuh pemain terlibat iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu terhadap FAM dan tujuh pemain warisan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC).
Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala ketujuh-tujuh pemain berkenaan didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) seorang dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
FAM dan para pemain terbabit mempunyai 10 hari untuk memohon penghakiman penuh dan 21 hari untuk memfailkan rayuan kepada CAS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial