KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Petinju negara Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin mahu bertarung dengan lebih tenang pada penampilan ketiga Sukan SEA bagi edisi 2025 di Thailand, bulan depan.
Muhammad Abdul Qaiyum berkata beliau ketika ini sedang menumpukan untuk menguatkan mental pada sesi latihan, sekali gus dapat membantunya mengelak daripada mengalami tekanan beraksi pada temasya sukan dwitahunan itu.
"Kebiasaannya ketika sparring (sesi latihan) saya boleh buat dengan baik, lawan dengan pertahanan juga boleh buat dengan baik, namun setibanya hari pertandingan kadang-kadang prestasi tidak sama.
"Jadi, saya cuba atasi situasi itu dengan cuba membayangkan persekitaran pada hari pertandingan sewaktu sesi latihan, saya mahu berlatih sebegitu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pemenang gangsa kategori 51 kilogram (kg) lelaki Sukan SEA 2023 di Phnom Penh itu, pada masa sama berharap dapat memperbaik prestasi dengan kejayaan lebih membanggakan di bumi Thailand.
Petinju berusia 21 tahun dari Ipoh itu juga akan berwaspada dengan kelibat wakil tuan rumah dan Filipina yang berpotensi mencabar kedudukan podium pada Sukan SEA kali ini.
Sukan SEA Thailand 2025 dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis, melibatkan tiga wilayah, iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial