SUKAN > BERITA

KBS BENTANG PINDAAN AKTA PEMBANGUNAN SUKAN 1997 TAHUN HADAPAN - HANNAH

10/11/2025 12:59 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Pindaan kepada Akta Pembangunan Sukan 1997, termasuk peruntukan berhubung integriti sukan, dijangka dibentang di Dewan Rakyat tahun hadapan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini sedang mengadakan perbincangan meja bulat bersama pemegang taruh bagi menjadikan akta tersebut lebih berkesan serta memberikan kuasa kepada Pesuruhjaya Sukan dan Menteri.

“Kita jangkakan pindaan Akta Pembangunan Sukan ini akan dibentangkan tahun hadapan supaya semua kelompongan sedia ada dapat ditutup,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang ingin tahu sama ada KBS bercadang meningkatkan kuasa undang-undang di bawah akta tersebut bagi membendung risiko penipuan dan manipulasi rasuah dalam e-sukan negara.

Menurut Hannah KBS sentiasa berkolaborasi dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menangani isu rasuah dalam sukan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai promosi e-sukan di peringkat sekolah rendah dan menengah, Hannah berkata KBS mengambil pendekatan konservatif dan tidak mempromosikan e-sukan secara aktif di sekolah.

“Bagi atlet yang mewakili Malaysia, KBS akan memberikan sokongan. Namun, promosi e-sukan di peringkat sekolah adalah bersifat konservatif kerana kebimbangan mengenai ketagihan gajet dan penggunaan berlebihan dalam kalangan pelajar.

"Kawalan serta bimbingan ibu bapa amat penting agar minat terhadap e-sukan dapat diurus secara seimbang. Setakat ini, tiada promosi aktif dijalankan sama ada oleh KBS mahupun Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau menambah beberapa siri sesi libat urus telah diadakan bersama Kementerian Pendidikan KPM) melalui Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, dengan kertas cadangan dan draf garis panduan telah disediakan bagi pelaksanaan e-sukan di sekolah.

“Mulai tahun depan, KPM akan menilai dan menyokong penganjuran pertandingan e-sukan oleh agensi luar yang melibatkan murid bagi tujuan pengiktirafan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum. Sokongan ini hanya diberikan kepada penganjur yang menggunakan judul permainan yang diluluskan oleh jawatankuasa penilai,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa penilai turut melibatkan unit Psikologi Kaunseling dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan setiap judul dan kandungan permainan sesuai dari segi pendidikan serta tidak menjejaskan kesejahteraan murid.

“KBS melalui Majlis Sukan Negara dan Impact Integrated, telah menyumbang input, termasuk penyerahan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG) sebagai dokumen rujukan utama untuk draf garis panduan e-sukan oleh KPM.

"KBS dan KPM akan terus berbincang bagi menyokong pertumbuhan e-sukan sambil memastikan kepentingan pelajar terpelihara. Penyertaan pelajar akan dilindungi sebaik mungkin,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan