SUKAN > BERITA

RMSIR 2025: DASH MULA MISI PERTAHAN KEJUARAAN DENGAN LANGKAH KANAN

17/11/2025 03:27 PM

PULAU PANGKOR, 17 Nov (Bernama) -- Pasukan Dash berada di landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan kelas 5 Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) selepas memenangi saingan peringkat pertama dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pangkor hari ini.

Skipper Dash Mohd Azhar Sa’don Zubir berkata beliau berharap momentum itu dapat diteruskan pada dua perlumbaan berikutnya iaitu dari Pulau Pangkor ke Pulau Pinang dan Pulau Pinang ke Pulau Langkawi.

“Bagi saya perlumbaan dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pangkor adalah laluan untuk kita merancang taktikal. Jadi, sekarang kita sudah tahu taktikal yang akan digunakan serta kekuatan lawan.

“Kalau boleh, kita mahu kekalkan kedudukan (juara). Siapa sahaja yang datang kita akan lawan dan dapatkan persaingan yang baik,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata enam kru kapal berkenaan diharap dapat mengekalkan kerjasama yang baik bagi baki dua perlumbaan.

“Bagi saya untuk perlumbaan yang jauh ini, kerjasama sangat penting sebab kalau ada yang down dan sebagainya, ia akan memberi kesan kepada moral (kru) yang lain,” katanya.

Terdahulu, Dash berjaya memenangi perlumbaan peringkat pertama kelas 5 dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pangkor dengan catatan masa 18 jam 13 minit 31 saat.

Tempat kedua perlumbaan itu dimenangi Sade 2 (18:20.16s), manakala tempat ketiga diraih Lucky Marlin dengan catatan 19:45.58s.

Sebanyak 23 pasukan menyertai RMSIR 2025 yang berlangsung selama sembilan hari hingga 22 Nov ini dengan perlumbaan diteruskan ke Pulau Pinang sebelum dijadualkan tamat di Langkawi. 

RMSIR merupakan kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia dan mula dianjurkan pada 1990 yang dicetuskan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda masih bergelar Raja Muda Selangor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan