SUKAN > BERITA

BEKAS KETUA JURULATIH HOKI REMAJA NEGARA K. RAJAN MENINGGAL DUNIA

17/11/2025 04:56 PM

IPOH, 17 Nov (Bernama) -- Bekas ketua jurulatih skuad hoki remaja negara dan pengendali pasukan hoki Perak K. Rajan meninggal dunia pada usia 68 tahun di sini pagi tadi.

Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP) Datuk Mohd Sayuti Abdul Samad berkata beliau difahamkan oleh ahli keluarga mendiang yang Rajan rebah dalam bilik air di rumahnya di Taman Pinji Mewah.

Beliau berkata Rajan meninggalkan isteri warga Thailand dan seorang anak lelaki serta seorang anak perempuan, masing-masing berusia 17 dan 13 tahun.

"Saya mengenali Rajan sejak berusia 15 tahun, kami berdua sudah terlibat dengan pelbagai kejohanan hoki di peringkat negeri dan kebangsaan ketika itu.

"Semasa mengendalikan skuad hoki Negeri Sembilan, beliau pernah mengalami masalah paru-paru berair," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sepanjang kariernya sebagai jurulatih, Rajan bekas pemain kebangsaan yang juga anak kelahiran Perak pernah membimbing skuad kebangsaan ke Piala Dunia Remaja pada 2009, selain menjadi pengendali pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama 12 musim dan terakhir membimbing skuad Singapura dan Thailand.

Mohd Sayuti berkata pemergian jurulatih berpengalaman itu merupakan satu kehilangan besar buat sukan hoki negara.

Beliau berkata mendiang juga sering membantu pihak sekolah membeli peralatan hoki pada harga yang berpatutan selain dikenali sebagai individu yang amat pemurah dan sentiasa membantu orang sekeliling.

“Kami berdua amat rapat, jika pergi ke mana-mana kami akan tidur sebilik. Rajan seorang yang amat baik dan jujur,” katanya.

Mohd Sayuti berkata Rajan juga menawarkan khidmat kejurulatihan secara percuma sejak beberapa tahun lepas dengan melatih pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat di sini.

Sementara itu, adik perempuan Rajan, Nirmala Abdullah, 60, berkata mendiang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 9.15 pagi di rumahnya di sisi isteri dan anak-anak.

Nirmala berkata mendiang akan disemadikan dalam upacara di Krematorium Ipoh Buntong di Jalan Madras di sini kira-kira 9.30 pagi esok.

Beliau berkata orang ramai serta kenalan boleh memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di Heavenly Home Christian Memorial Hall yang beralamat di 79, Jalan Masjid di sini bermula 5 petang hingga 10 malam hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan