KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) digesa supaya tidak mencampuri kemelut membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), meskipun isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan turut dikaitkan dengan beberapa agensi kerajaan.
Pemerhati sukan tanah air Datuk Christopher Raj berkata tindakan disiplin terhadap FAM dan pemain terlibat adalah urusan FIFA, justeru sebarang penglibatan kerajaan walaupun atas alasan penyelarasan antara agensi tetap dianggap melanggar prinsip autonomi bola sepak seperti ditetapkan badan induk itu.
“Lebih baik menteri mahupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak campur tangan kerana jika FIFA mengesan ada campur tangan, FAM boleh digantung dan ia akan menjejaskan seluruh entiti yang terkait di bawah badan induk sukan itu.
“Tidak boleh ada arahan, permintaan membuat keputusan atau cadangan kerana banyak contoh negara sudah menerima hukuman penggantungan termasuk Bangladesh pada 2017, setelah seorang menteri meminta exco persatuan bola sepak mereka meletak jawatan, malah Pakistan juga menerima padah pada 2017 sehingga 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Larangan itu sejajar dengan amaran FIFA bahawa mana-mana negara yang membenarkan pengaruh kerajaan dalam keputusan bola sepak boleh dikenakan penggantungan serta-merta, sekali gus menjejaskan penyertaan skuad kebangsaan dalam semua kejohanan rasmi.
Dalam kes melibatkan pemalsuan dokumen, perkara itu tertakluk di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, yang hanya boleh ditangani melalui sistem perundangan sukan antarabangsa dan bukannya mekanisme pentadbiran kerajaan.
Terdahulu, FAM membuat keputusan untuk meneruskan proses rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), susulan laporan terbaharu FIFA berkaitan skandal kelayakan pemain negara yang menyebabkan tujuh pemain digantung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial