KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengambil langkah wajar berhubung isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan, selepas meneliti alasan bertulis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata KBS mengikuti rapat perkembangan kes ini dan peranan KDN adalah kritikal memandangkan aspek jenayah berada di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.
“Untuk aspek itu adalah di bawah bidang kuasa KDN jadi kita serahkan kepada kementerian itu dan saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) tetapi belum dapat lagi maklum balas. Saya sendiri sedang meneliti alasan bertulis penuh FIFA.
“Saya rasa bagi beliau masa untuk meneliti juga dan kemudiannya saya pasti KDN akan menjawab,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pengumuman penajaan Skechers bersama atlet negara ke Sukan SEA 2025 Thailand, di sini hari ini.
Semalam, menerusi alasan bertulis penuh setebal 63 muka surat yang dikeluarkan, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengarahkan sekretariat mengambil langkah sewajarnya untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa di lima negara iaitu Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia.
Menurut jawatankuasa itu, pemalsuan merupakan satu kesalahan jenayah di negara-negara terbabit dan adalah penting agar pihak berkuasa dimaklumkan supaya siasatan serta prosiding jenayah sewajarnya dapat dijalankan.
Hannah berkata pihaknya akan memberi penerangan lanjut berhubung persoalan membabitkan FAM dan FIFA di Parlimen esok.
“KBS akan menggulung dalam Parlimen iaitu belanjawan KBS untuk 2026 akan dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen. Jadi, semua ini akan dijawab dalam Parlimen,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial