SUKAN > BERITA

KEJOHANAN SKUASY REMAJA ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2025 TARIK LEBIH 1,000 PESERTA

26/11/2025 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Sebanyak 1,005 peserta akan bertanding merebut gelaran pada Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur 2025, yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 7 Disember.

Peserta tahun ini berasal daripada 23 negara, menandakan tahun kedua berturut-turut kejohanan melepasi 1,000 penyertaan, selepas mencatatkan 1,045 penyertaan tahun lalu, sekali gus menunjukkan peningkatan populariti dan prestij kejohanan tersebut.

Presiden Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (SRAFTKL) dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Steven Kwan berkata, beliau gembira kerana edisi ke-17 kejohanan itu terus kekal sebagai acara platinum untuk tahun ketujuh sejak 2017.

“Kita boleh menjangkakan satu minggu yang menarik dengan perlawanan hebat daripada pemain-pemain ini yang bercita-cita menjadi juara dunia atau Olimpik suatu hari nanti.

“Kejohanan ini akan menjadi platform sempurna untuk mereka mencapai impian mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia menghantar kontinjen terbesar dengan 700 pemain, diikuti Hong Kong dan Singapura masing-masing dengan 67 pemain, China (35) dan Korea Selatan (31), antara lain.

Kejohanan akan berlangsung di empat venue utama, iaitu Jalan Duta Squash Courts, ACE UM Centre of Excellence, Bangsar, Royal Lake Club, dan Royal Selangor Club, Jalan Raja.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan