SUKAN > BERITA

SUKAN SEA 2025: ISU PELEPASAN PEMAIN TERUS MENJADI CABARAN SKUAD B-23 - NAFUZI

01/12/2025 07:49 PM

SHAH ALAM, 1 Dis (Bernama) -- Skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara berkemungkinan tidak dapat menurunkan tujuh pemain bagi menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand, susulan komitmen bersama pasukan Liga Super.

Pengendali skuad B-23 negara Nafuzi Zain mengakui situasi itu meresahkan beliau menjelang aksi pembukaan menentang Laos pada Sabtu ini (6 Dis), yang dianggap satu perlawanan wajib menang berdasarkan kegagalan pada Piala ASEAN dan kelayakan Piala Asia pada Julai serta September lepas. 

“Setakat ini tujuh (pemain) yang pasti (tidak berada dalam pasukan) tetapi pemain Selangor mungkin (dapat beraksi bersama berdasarkan) perbincangan tetapi pemain (lain) kami belum pasti lagi. 

“Dua kejohanan sebelum ini menyebabkan kegagalan mara ke pusingan seterusnya adalah berpunca daripada kekalahan pada perlawanan pertama dan semestinya kami memerlukan pemain terbaik. Kami tahu ini bukan dalam kalendar FIFA dan kelab mempunyai hak tidak melepaskan pemain namun harap pertimbangan dilepaskan pada perlawanan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi latihan skuad B-23 menjelang Sukan SEA 2025 di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong di sini hari ini.

Nafuzi berkata biarpun terdapat pilihan pemain lain, mereka yang beraksi dalam kancah Liga Super memiliki tahap kematangan serta pengalaman lebih tinggi untuk membantu pasukan pada saat genting.

Beliau memaklumkan skuad negara yang memulakan kem latihan pusat sejak 25 Nov kini berlatih dalam keadaan serba kekurangan namun tetap komited meneruskan perjuangan dan menghadapi apa jua cabaran menjelang aksi seterusnya.

“Dari segi persiapan, kami berlatih pun dalam situasi kekurangan pemain. Tak cukup pemain yang betul-betul dan mungkin ada yang sertai latihan lepas itu balik untuk perlawanan dengan negeri, dengan kelab, lepas tu akan sertai kami semula,” katanya. 

Sementara itu, pemain pertahanan Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri berharap akan ada ‘keajaiban’ yang mampu menjadi titik perubahan serta menyuntik magis buat skuad negara pada temasya dwitahunan itu.

“Kami tidak boleh ambil mudah dan banyak benda yang kami pelajari khususnya dari segi bermain satu pasukan. Kami ambil maklum ada perkara kecil yang kadangkala memberi impak yang lebih besar untuk kami sebagai pasukan. 

“Jadi untuk Sukan SEA kali ini, kami telah ambil maklum atas semua dengan kejohanan-kejohanan lepas dan kami akan buat sehabis baik pada edisi Sukan SEA kali ini,” katanya. 

Skuad B-23 yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan saingan pada 6 Dis menentang Laos sebelum berdepan Vietnam pada 11 Dis di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Mengikut format kejohanan, hanya juara kumpulan dan satu pasukan kedua terbaik layak ke separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA ialah pada 2011 di Jakarta, Indonesia.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan