SUKAN > BERITA

10 PEMAIN SKUAD B-16 NEGARA BERPOTENSI TEMBUSI SKUAD HARIMAU MALAYA - DOLLAH SALLEH

03/12/2025 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Biarpun gagal layak ke Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2026, beberapa pemain skuad bawah 16 tahun (B-16) negara telah menunjukkan potensi untuk digilap sehingga ke peringkat senior, kata pengurus pasukan Datuk Dollah Salleh.

Dollah yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata sekurang-kurangnya 10 pemain daripada skuad muda negara itu berpotensi untuk menyarung jersi pasukan senior dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Saya boleh lihat sekurang-kurangnya 10 pemain B-16 berpotensi untuk dikembangkan (bakat mereka). Saya telah berbincang dengan jurulatih dan menegaskan mereka tidak seharusnya (dipersiapkan) untuk kejohanan itu saja.

“Selepas ini mereka beralih ke skuad B-17 dan seterusnya ke kelab dan kita tidak lagi memantau mereka. Oleh itu, kita perlu berusaha memastikan pemain-pemain ini terutamanya 10 orang itu tidak disia-siakan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas prestasi keseluruhan skuad B-16 negara, legenda bola sepak negara itu berkata pasukan kali ini mempunyai beberapa pemain dengan kemahiran individu yang baik, tetapi masih kurang dari segi keserasian sebagai satu pasukan.

“Keseluruhan pemain skuad ini baik, cuma pada hari penentuan lawan Vietnam nampak kucar-kacir mungkin disebabkan faktor keserasian pemain kerana kita banyak buat pertukaran. 

“Mungkin salah pencaturan, kita bermain baik tetapi kita sentiasa buat penggiliran pemain, di situ keserasian pasukan tak nampak,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM itu.

Skuad B-16 negara gagal layak ke Piala Asia B-17 2026 selepas menamatkan saingan Kumpulan C kempen pusingan kelayakan di kedudukan kedua dengan mengumpul 12 mata, di belakang Vietnam yang muncul juara selepas meraih 15 mata.

Pada kempen itu, Malaysia tewas 0-4 kepada Vietnam pada aksi terakhir kumpulan yang juga perlawanan penentuan juara selepas cemerlang melakar empat kemenangan masing-masing ke atas Kepulauan Mariana Utara 13-0, Hong Kong (1-0), Macau (5-0) dan Singapura 2-1.

Terdahulu, Dollah hadir sebagai tetamu jemputan pada sidang media Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Datuk Chu Ah Nge 2025 di sini hari ini.

Kejohanan edisi ke-19 itu yang bakal berlangsung dari 5 hingga 7 Dis ini akan menampilkan 100 pasukan daripada pelbagai peringkat umur dari Singapura, Maldives, Indonesia, Nepal dan Malaysia.

Juara bagi setiap kategori umur, iaitu B-8, B-10, B-12, B-14 dan B-16 akan diberi peluang menyertai kejohanan anjuran akademi di Singapura secara percuma pada April tahun depan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan