SUKAN > BERITA

HANTAR KONTINJEN BESAR KE SUKAN SEA 2025, APG 2025 BUKAN KEJAR KEJAYAAN SINGKAT - HANNAH

03/12/2025 07:22 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Penghantaran kontinjen besar Malaysia ke Sukan SEA 2025 dan Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Thailand bukan bertujuan mengejar kejayaan jangka pendek semata-mata, sebaliknya langkah strategik bagi membina pengalaman dan keyakinan menjelang penganjuran kedua-dua temasya itu di Malaysia pada 2027.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata hampir separuh daripada atlet yang dihantar akan bertanding dalam acara berpasukan yang disifatkan sebagai pelaburan penting untuk memperkukuh kesepaduan dan kesiapsiagaan sukan negara dalam tempoh jangka panjang.

“Penyertaan besar ini bukan soal angka tetapi usaha membina kesinambungan dan kematangan atlet. Jika kita hanya memilih atlet berdasarkan potensi pingat jangka pendek, kita akan menafikan peluang pendedahan kepada bakat muda yang bakal menjadi sandaran negara pada masa hadapan,” katanya.

Hannah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025 dan APG 2025 di sini hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan disiplin, pengurusan emosi dan penggunaan media sosial secara berhemah dalam kalangan atlet khususnya ketika berdepan tekanan pertandingan di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Hannah berkata kerajaan terus memberi penekanan terhadap kebajikan atlet dengan pelbagai penambahbaikan termasuk perlindungan sosial, elaun, kemudahan latihan serta sokongan logistik bagi memastikan atlet dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada prestasi.

“Apabila kerajaan telah melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin, saya mengharapkan atlet juga akan melaksanakan amanah mereka apabila tiba masa untuk bersaing di gelanggang,” katanya.

Beliau berkata kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui bilangan pingat yang dimenangi, sebaliknya melalui disiplin, keberanian dan komitmen atlet ketika mewakili negara.

Terdahulu, Ketua Kontinjen (CDM) Sukan SEA 2025 Nurul Huda Abdullah memaklumkan mereka menyasarkan membawa pulang 200 pingat manakala CDM APG 2025 Mohd Zarrawi Ravi Abdullah pula mengumumkan sasaran 181 pingat buat kontinjen para negara.

Malaysia akan mempertaruhkan 1,142 atlet diiringi 515 pegawai bagi Sukan SEA 2025 manakala sebanyak 236 atlet dan 117 pegawai pada APG 2025.

Sukan SEA 2025 akan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini manakala APG 2025 pula dijadual bermula 20 hingga 26 Jan depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan