SUKAN > BERITA

LEBIH 10,000 BELIA SERTAI PROGRAM SUKARELAWAN KBS TAHUN INI - ADAM ADLI

06/12/2025 04:24 PM

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Seramai 10,420 belia menyertai pelbagai program sukarelawan anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sepanjang tahun ini, menunjukkan komitmen tinggi golongan muda terhadap aktiviti kemasyarakatan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim, berkata peningkatan penyertaan itu mencerminkan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh budaya kesukarelawanan serta penglibatan aktif belia dalam pembangunan komuniti.

Antara program digerakkan tahun ini ialah MYCorps Borneo 2025, ASEAN Youth Volunteer (AYV), Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA), Program Furr Ever dan Projek DENGAR Rakan Muda.

“Penglibatan mereka membuktikan belia Malaysia bukan sahaja berkebolehan, malah bersedia memikul tanggungjawab sosial,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKBM) peringkat Kebangsaan 2025 sempena Program Rancakkan MADANI, yang turut dihadiri KSU KBS Datuk Dr K. Nagulendran dan Ketua Pengarah JBS Azura Abidin.

Adam Adli berkata KBS terus memperkukuh ruang penyertaan belia melalui segmen Rakan Prihatin di bawah Gaya Hidup Rakan Muda, selain memastikan program kesukarelawanan dapat memupuk rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta.

Adam Adli berkata KBS sentiasa berusaha memperkukuh ruang penyertaan belia dalam kerja kesukarelawanan, khususnya melalui segmen Rakan Prihatin dalam Gaya Hidup Rakan Muda. 

Beliau berkata lebih 5,000 peserta menyertai HKBM di peringkat kebangsaan dan negeri sepanjang tahun ini, membuktikan sambutan menggalakkan serta kesedaran tinggi terhadap semangat kesukarelawanan.

Penganjuran acara itu juga bertepatan dengan sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa (IVD) semalam bertemakan “Every Contribution Matters” atau “Setiap Sumbangan Penting”.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan