Daripada Muhammad Afiff Md Adnan
BANGKOK, 8 Dis (Bernama) -- Skuad hoki lima sebelah (5S) lelaki negara menutup saingan peringkat Kumpulan A pada Sukan SEA 2025 dengan penuh bergaya apabila membelasah pasukan tuan rumah Thailand 9-1 di Stadium Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) hari ini.
Malaysia tampil lebih dominan sejak awal permainan apabila Kamarulzaman Kamaruddin membuka tirai jaringan seawal minit ketiga sebelum menambah satu lagi gol pada minit ke-15.
Akhimullah Anuar Esook dan Abid Sufian Mat Ruslee turut mempamerkan aksi cemerlang dengan dua jaringan masing-masing pada minit kesembilan serta ke-25 dan minit ke-18 serta ke-26.
Turut mencipta nama sebagai penjaring ialah Muhibuddin Moharam (ke-10), Syarman Mat Tee (ke-17) dan Shafiq Ikhmal Suzaini (ke-29).
Kejayaan itu mengesahkan Malaysia sebagai juara Kumpulan A dan mara ke pusingan separuh akhir untuk bertemu Filipina.
“Hari ini kita nampak pemain membuktikan yang mereka mampu untuk memberikan saingan kepada pasukan tuan rumah. Walaupun kita main di tempat lawan, di dalam perlawanan ini kita nampak pemain berjaya menjaringkan gol.
“Setiap peluang yang ada mereka berjaya menghasilkan gol. Itu yang terbaik yang dapat mereka perbaiki daripada perlawanan pertama dan kedua, dan paling mustahak sebenarnya adalah kemenangan pada petang ini memudahkan laluan mereka di suku akhir dan ke final,” kata ketua jurulatih skuad 5s lelaki Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman ketika ditemui selepas perlawanan.
Sementara itu, skuad wanita turut melakar kejayaan apabila muncul juara Kumpulan A selepas membelasah Filipina 13-0 pada aksi sebelah pagi dan menundukkan Thailand 7-2 pada sebelah petang.
Malaysia dijangka bertemu Filipina pada separuh akhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial