Daripada Amiril Muttaqien Meketar
BANGKOK, 10 Dis (Bernama) -- Sandaran utama skuad taekwondo negara, Jason Loo Jun Wei-Nur Humaira Abdul Karim bagi menjelmakan kilauan pingat emas dalam acara poomsae berpasangan campuran Sukan SEA 2025 di Thailand dihampakan dengan keputusan juri pada aksi suku akhir hari ini.
Para juri menganugerahkan kemenangan kepada pasangan tuan rumah Chonlakorn Chayawatto-Thana Kiewailerd berdasarkan aspek persembahan, walaupun kedua-dua pasangan terikat 8.460 mata pada aksi yang berlangsung di pusat beli-belah Fashion Island.
Malaysia membantah keputusan itu namun tidak berjaya, dengan pihak juri tetap mempertahankan keputusan mereka.
Jason berkata persembahan mereka konsisten dan tidak berbeza daripada sesi latihan, sambil menegaskan dia dan Nur Humaira melaksanakan rutin seperti yang dirancang walaupun keputusan juri berpihak kepada lawan.
“Markah kami ditentukan berdasarkan persembahan serta ketepatan, dan menurut apa yang dimaklumkan oleh pengurus pasukan, kami tewas dengan perbezaan 0.04 mata.
"Apa yang berlaku sudah pun berlaku. Kami telah melakukan segala yang termampu, jurulatih kami, pengurus pasukan, semua sudah berusaha sebaik mungkin. Keputusan (juri) muktamad, tidak boleh diubah,” katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Nur Humaira menyifatkan prestasinya dan Jason cukup baik, memberi skor sembilan daripada 10, walaupun menghadapi cabaran menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan, terutama keadaan lantai yang agak licin.
Nur Humaira berkata mereka beryakinan tinggi sebelum turun ke gelanggang selepas menewaskan pasangan Thailand dalam satu kejohanan antarabangsa di Austria pada Jun, namun beliau mengakui sifat subjektif dalam pemberian markah.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata kontinjen negara sememangnya kecewa dengan keputusan tersebut lebih-lebih lagi Jason-Nur Humaira turun dengan status sebagai pemenang gangsa Kejohanan Dunia Poomsae 2024 di Hong Kong.
Menyedari ia sebahagian daripada adat pertandingan, Adam Adli turut berterima kasih kepada pengurus skuad taekwondo negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang berusaha sehabis baik dalam mengemukakan bantahan terhadap keputusan juri.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Jefri Ngadirin pula menyifatkan keputusan juri sebagai tidak adil selepas merasakan wakil negara menampilkan persembahan yang baik dan mahu penganjur memperbaiki mutu pengadilan selepas ini.
“Kita bukan mahu pastikan semua atlet kita menang, tapi mana-mana yang membuat persembahan yang terbaik sepatutnya diberikan mata yang setimpal,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial