BANGKOK, 10 Dis (Bernama) -- Berikut berita ringkas melibatkan atlet Malaysia pada Sukan SEA Thailand 2025, di sini hari ini:
BOLA TAMPAR:
Skuad wanita kebangsaan memulakan kempen kali ini dengan langkah kiri apabila tewas kepada Indonesia 12-25, 12-25, 16-25 di Stadium Tertutup Huamark.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan meneruskan perjuangan berdepan Vietnam esok, diikuti Myanmar pada Jumaat.
Dua pasukan terbaik kumpulan akan mara ke separuh akhir.
KRIKET:
Skuad wanita negara menempah slot ke separuh akhir bagi acara T10 selepas menamatkan saingan Kumpulan B sebagai naib juara.
Malaysia memulakan aksi kumpulan hari ini di Asian Institute of Technology dengan menumpaskan Filipina 26 larian, namun tewas empat wiket kepada juara kumpulan, Myanmar.
Dalam aksi separuh akhir, pasukan wanita negara akan berdepan juara bertahan, Thailand, bagi menentukan slot ke final.
Sementara itu, selepas menundukkan Filipina semalam, skuad kriket lelaki negara meneruskan momentum kemenangan dalam saingan T20 selepas mengatasi Indonesia dengan enam wiket di TerdThai Cricket Ground.
Malaysia, yang memenangi lambungan dan memilih untuk memukul, mengumpul 78 larian daripada 9 overs, manakala Indonesia mencatat 75 larian daripada 20 overs.
BASIKAL BUKIT (MTB):
Pelumba MTB wanita negara Eddyna Nasuhar Zainal Abidi gagal menepati sasaran sekurang-kurangnya meraih gangsa selepas menamatkan cabaran dengan berada di kedudukan ketujuh acara downhill di Zoo Terbuka Khao Kheow di Chonburi.
Atlet Thailand Deekaballes Vipavee meraih emas diikuti wakil Indonesia, Agustina Riska Amelia meraih perak manakala seorang lagi wakil tuan rumah Ritthidet Kanokrat dengan gangsa.
BOLA KERANJANG:
Skuad bola keranjang lelaki negara membuka kempen peringkat kumpulan acara 3 lawan 3 (3v3) dengan menewaskan Laos 21-5 sebelum tewas kepada Filipina 19-21.
Skuad bola keranjang wanita pula tewas kepada Indonesia 10-19 dan akan berdepan Filipina pada perlawanan kedua peringkat kumpulan berlangsung pada hari sama.
BILIARD & SNUKER
Di Thunder Dome Muang Thong Thani, Nonthaburi, pasukan wanita negara dibarisi Brionica Song Kai Yin/Tan Kim Mei menamatkan saingan dalam peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 kepada gandingan tuan rumah.
Sementara itu, dalam acara perseorangan snuker 6 Reds lelaki, Thor Chuan Leong mengesahkan tempat di suku akhir esok dengan kemenangan 5-2 ke atas peserta Thailand James Wattana.
BESBOL
Pasukan lelaki negara mengalami kekalahan buat kali kelima selepas tumpas kepada Singapura 7-14 di Queen Sirikit Sports Center, Pathum Thani.
SEPAK TAKRAW
Malaysia membuka kempen acara regu berpasukan lelaki dengan langkah cemerlang apabila menumpaskan Singapura 3-0 dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan di Stadium Perbandaran Nakhon Pathom.
Dalam saingan wanita, Malaysia turut meraih kemenangan percuma 3-0 selepas Kemboja menarik diri daripada temasya berkenaan susulan ketegangan konflik sempadan dengan Thailand.
Skuad lelaki dijadualkan berdepan Filipina, manakala skuad wanita akan menentang Myanmar dalam aksi kedua peringkat kumpulan esok.
Terdahulu, bagi acara chinlone linking, skuad lelaki dan wanita masing-masing berpuas hati membawa pulang pingat gangsa bersama Laos selepas merekodkan jumlah timbangan terendah pada aksi final, hari ini.
TINJU
Petinju lelaki negara, Muhammad Rasdenal Haikal melangkah ke pusingan separuh akhir kategori 57 kilogram (kg) selepas menewaskan wakil Laos, Khammy Souliya pada aksi suku akhir di Universiti Chulalongkorn.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial