KOTA KINABALU, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah hari ini menyalurkan insentif berjumlah RM100,000 kepada Sabah FC sebagai penghargaan atas kejayaan pasukan itu mara ke final Piala FA buat pertama kali selepas 30 tahun penantian.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Titingan, berkata insentif itu disampaikan atas arahan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebagai simbol sokongan kerajaan terhadap pencapaian bersejarah skuad berkenaan.
“Kita berharap Sabah FC akan bermain dengan baik, penuh komitmen, kesungguhan dan semangat berpasukan. Mudah-mudahan dengan doa semua peminat bola sepak di Sabah, selepas 30 tahun kita dapat mengulangi kejayaan menjuarai Piala FA ini yang dimenangi 1995,” katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi latihan terbuka Sabah FC di Stadium Likas, di sini hari ini.
Nizam yang juga peminat bola sepak optimis bahawa Sabah FC mampu mencipta sejarah baharu selepas kali terakhir menjulang Piala FA pada 1995.
“Insya-Allah, sejarah akan tercipta tahun 2025 ini, Sabah FC akan menjadi juara Piala FA. Keyakinan mesti tinggi,” katanya.
Di pentas final, Sabah FC akan membuat perhitungan menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mara dengan kemenangan agregat 4-1 selepas mengatasi Kuching City FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada aksi separuh akhir kedua.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial